Dadah bernilai RM885,526 dirampas

Pelbagai jenis dadah dirampas.
Pelbagai jenis dadah dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai lima individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Kelang Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menahan sebuah kereta jenis Volkswagen pada jam 9.40 pagi di hadapan sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini.

Mazlan memberitahu, polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun dan menemui pil ecstasy dianggarkan seberat 3,490 gram dengan nilai RM240,000.

"Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM270 dan kereta dianggarkan bernilai RM40,000 disita,” katanya melalui kenyataan media.

Mazlan berkata, siasatan mendapati suspek telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ecstasy, erimin 5 dan ketamin sejak awal Oktober lalu di sekitar Lembah Kelang dan urusan jual beli melalui pembayaran ke akaun bank,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Batu Caves, pada jam 10.20 pagi pada hari yang sama.

“Polis menemui sebanyak 1,336 biji Erimin 5, ketamin anggaran berat 2,600 gram, 221 biji pil ecstasy dan syabu yang dianggarkan bernilai RM645,526 selain wang tunai berjumlah RM11,344,” katanya.

Menurutnya, seramai empat individu termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di Taman Selayan Baru, Batu Caves pada jam 6.30 petang.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua individu yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 26 hingga 31 tahun. Kita telah merampas wang tunai berjumlah RM26,261, sebuah kereta jenis Mercedes E 200 bernilai RM70, 000 dan sebuah kereta jenis Honda HRV bernilai RM65,000,” katanya.

Mazlan berkata, seorang daripada mereka mengaku terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan mendapat bekalan dadah daripada individu lain.

“Urusan jual beli dadah dilakukan menggunakan aplikasi WeChat dan bayaran dibuat semasa penghantaran. Polis kini giat mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan Lembah Kelang,” katanya.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Khamis lalu hingga Rabu ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.