Adilkah ibu bapa bayar yuran penuh taska sepanjang PKP?

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taska atau pusat asuhan kanak-kanak yang masih meminta bayaran yuran penuh meskipun ibu bapa tidak dapat menghantar anak mereka ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah masuk hampir enam minggu menjadi persoalan sama ada perkara itu adil atau tidak.

Nyata itu adalah antara keluhan ibu bapa, apabila kebanyakan pengurusan taska memberi alasan bahawa bayaran penuh tetap dikenakan memandangkan mereka perlu membayar gaji pekerja dan menanggung kos-kos tertentu.

Pemandu e-hailing di Johor Bahru, Amir Hamzah,37, berkata, ibu bapa dan pihak taska perlu bertolak ansur dan mencari kesepakatan agar konsep menang-menang dapat dipraktikkan sekali gus menyelesaikan kemelut tersebut.

Beliau berkata, pengusaha taska tidak seharusnya memikirkan untung semata-mata dengan mengenakan yuran penuh sama seperti bulan-bulan biasa, memandangkan hakikatnya banyak belanja dapat dijimatkan oleh taska ketika PKP.

Ini termasuklah penjimatan bil utiliti seperti elektrik dan air yang tidak digunakan, kelengkapan alat tulis dan perbelanjaan makanan harian untuk anak-anak taska, selain menerima bantuan subsidi upah oleh kerajaan di bawah Pakej Prihatin Tambahan, katanya.

"Bukannya tidak mahu membayar langsung, kami faham gaji pekerja bergantung kepada yuran tersebut namun pengiraan perlulah dibuat dengan menolak kos yang tidak digunakan daripada pembayaran penuh yuran bulanan.

"Sekiranya bayarannya tetap sama, itu bermakna taska mengaut untung yang lebih berbanding sebelum PKP sedangkan ada ibu bapa sendiri yang gaji mereka turut terjejas...saya sendiri misalnya, e-hailing tidak mendapat sambutan kerana masyarakat patuh kepada arahan untuk duduk rumah," katanya kepada Bernama.

Katanya, sepanjang PKP pihak taska hanya membenarkan beliau yang memperuntukkan RM1,000 setiap bulan untuk dua orang anaknya itu untuk menangguh bayaran tanpa memberikan sebarang diskaun.

Artikel Berkaitan:

"Pihak taska ada menjalankan kelas dalam talian selama satu jam sehari, tetapi keberkesanannya tidak sama dengan kelas secara berdepan, lagi-lagi untuk anak-anak berusia empat tahun ke bawah...malah kos untuk bahan-bahan pembelajaran dan membeli pencetak juga ditanggung ibu bapa," katanya.

Seorang juruwang bank yang mahu dikenali sebagai Atirah,39, pula berkata, pihak taska memberikan potongan separuh harga untuk bulan Mei dengan syarat yuran untuk bulan Mac dan April dibayar penuh atau jika gagal anaknya yang berusia tiga tahun itu akan diberhentikan dari taska.

"Saya dan suami masing-masing bekerja sepanjang PKP kerana terlibat dalam perkhidmatan penting dan oleh itu kami terpaksa mengeluarkan lagi perbelanjaan untuk menghantar anak kepada pengasuh lain disebabkan taska terpaksa ditutup.

"Kami pejam mata apabila bayar yuran penuh kepada taska pada Mac lalu meskipun cuma dapat menghantar anak selama dua minggu, tetapi apabila PKP berlarutan, kami harap pihak taska dapat bertolak ansur dengan memberikan diskaun yang lebih munasabah atau kerajaan sendiri boleh membantu menyeragamkan jumlah yang perlu dibayar," katanya yang bekerja di Kuala Lumpur.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Shamsinah Che Shariff berkata, banyak taska atau tadika kecil-kecilan yang kini menghadapi masalah untuk meneruskan kelangsungan ekoran kerenah sesetengah ibu bapa yang langsung enggan membayar yuran bulanan.

Katanya, kebanyakan taska tidak ada masalah untuk menolak kos makan dan bil utiliti, malah ibu bapa yang pendapatannya terjejas juga boleh berbincang dengan taska untuk mendapat kata sepakat.

"Jika betul ada ibu bapa yang terjejas pendapatan, boleh tunjuk bukti dan berbincang dengan pengurusan taska atau tadika, rasanya tiada masalah...malah kalau sekadar memotong kos makan okay sahaja.

"Bil utiliti pula berapalah sangat kalau hendak dibandingkan dengan usaha dibuat taska...kasih sayang dan perkhidmatan baik yang diberikan sebelum PKP lagi...mereka juga perlu bayar sewa, gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pekerja dan sebagainya," katanya.

Namun beliau tidak menafikan ada ibu bapa yang tetap membayar yuran penuh meskipun diberikan diskaun, ini kerana mereka memahami keadaan pengusaha taska atau tadika dan menyedari nilai penjagaan profesional.

"Kepada ibu bapa yang ada kemampuan dan menghargai perkhidmatan yang telah diberikan selama ini, tolonglah bayar dengan penuh ... tolong hargai pihak yang menjaga anak anda...janganlah berkira sangat.

"Kita akui banyak taska atau tadika yang berorientasikan keuntungan tetapi itu yang besar-besar...yang kecil-kecil ini yuran bulanan hanya cukup untuk ‘survive’ dan hanya ada lebih RM2,000 ke RM3,000 sahaja... maka mereka terjejas teruk apabila ibu bapa tidak mahu bayar kerana menjaga anak di rumah," katanya.

Dalam pada itu, Shamsinah berkata, usaha guru dan pengasuh meneruskan pembelajaran dalam talian juga membuktikan bahawa mereka sanggup bersusah payah demi memastikan kanak-kanak di bawah seliaan mereka tidak tertinggal dalam pembelajaran dan menghabiskan masa dengan aktiviti berkualiti.

"Dengan kecanggihan teknologi, pembelajaran telah dibawa ke rumah kanak-kanak melalui dalam talian...benar sememangnya ia memerlukan sedikit bantuan ibu bapa tetapi mereka harus fikir, pengasuh atau guru-guru berusaha keras untuk membuat persediaan pembelajaran tersebut," katanya. - Bernama