Covid-19 sudah mengubah hidup kita

Keadaan aliran trafik kelihatan lengang selepas kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 12 Mei ini di seluruh negara bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.
-- fotoBERNAMA
Keadaan aliran trafik kelihatan lengang selepas kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 12 Mei ini di seluruh negara bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19. -- fotoBERNAMA
A
A
A

APABILA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang wabak koronavirus (Covid-19) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehidupan rakyat di negara ini tidak akan kembali seperti biasa.

Katanya, kita akan menjalani kehidupan dengan the new normal atau kebiasaan baharu. Apa yang dimaksudkan dengan new normal ialah kebiasaan yang kita biasa buat sebelum PKP sudah tidak boleh diteruskan lagi.

Kita mengharapkan apabila Covid-19 berjaya diatasi, kita akan kembali hidup normal seperti sebelum ini. Namun kenyataan pakar menunjukkan suasana tidak normal akan berterusan untuk jangka panjang, berbulan-bulan, malah mungkin keseluruhan tahun 2020.

Mahu atau tidak, kita terpaksa menghadapinya. Sejak wabak maut itu mula dikesan di China pada Disember tahun lalu, jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia sudah mencecah 203,055 kes.

Majoriti masyarakat sudah mula menerima new normal apabila tidak boleh keluar bebas seperti dahulu, lebih cakna tentang kebersihan diri apabila mengamalkan pemakaian penutup muka dan kerap membasuh tangan menggunakan hand sanitizer, bermesyuarat dan membeli barang secara dalam talian.

Hari ini sudah masuk hari keempat umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan. Suasananya cukup berbeza dan tidak pernah kita bayangkan sebelum ini. Tiada solat tarawih di masjid dan surau, tidak dibenarkan menyambut Ramadan bersama keluarga di kampung, tiada bazar Ramadan dan majlis berbuka puasa di hotel-hotel.

Memang sukar untuk umat Islam membiasakan perkara tersebut khususnya pada bulan Ramadan kerana amalan new normal memberikan cabaran besar dan situasi yang cukup berbeza.

Jika angka tidak bertambah baik atau Covid-19 masih tidak berjaya diatasi sepenuhnya, boleh jadi PKP akan diteruskan untuk fasa yang seterusnya. Ternyata Covid-19 sudah mengubah hidup kita. Inilah realiti yang perlu kita terima.

Artikel Berkaitan:

Umat Islam juga akan menempuhi satu cabaran bersejarah, sekaligus mengubah gambaran sambutan Aidilfitri yang meriah kepada hanya duduk di rumah. Sekiranya PKP tidak ditamatkan dalam masa terdekat, tiada lagi amalan kunjung-mengunjung atau rumah terbuka sepanjang Syawal.