300,000 daftar aplikasi Gerak Malaysia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 300,000 individu sudah mendaftar dengan aplikasi mudah alih Gerak Malaysia dan lebih 100,000 daripadanya sudah memohon untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya menjangkakan angka tersebut akan meningkat berkali ganda menjelang 1 Mei ini.

"Pemohon terdiri daripada yang terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing berikutan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita akan pastikan bahawa setiap permohonan yang diterima adalah untuk tujuan dibenarkan sahaja supaya perancangan pergerakan antara negeri berjalan lancar dan tidak menyulitkan pengguna lebuh raya dan jalan raya terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Huzir Mohamed
Huzir Mohamed

Huzir berkata, polis akan memantau serta menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi Gerak Malaysia.

"Hasilnya akan dimaklumkan kepada kerajaan supaya tarikh pergerakan diselaraskan mengikut jumlah permohonan diterima.

"Saya menasihatkan supaya masyarakat dapat memberikan kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri atas sebab-sebab yang sahih seperti ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan sistem aplikasi dapat dimanfaatkan oleh yang benar-benar perlu melakukan pergerakan antara negeri.

"Perkembangan lanjut mengenai jadual pergerakan antara negeri akan diumumkan kelak," katanya.