Armizan mahu MoF tambah peruntukan Program Jualan Rahmah Madani

PAPAR - Pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) diharap dapat terus diperkasakan dengan pertambahan peruntukan daripada Kementerian Kewangan (MoF) bagi tahun 2027.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pertambahan peruntukan itu penting bagi membolehkan inisiatif berkenaan diperluaskan susulan sambutan menggalakkan daripada rakyat di seluruh negara.
Katanya, PJRM yang menawarkan barangan antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat merupakan antara intervensi kerajaan dalam membantu rakyat menangani isu kos sara hidup.
"Melihat bahawa ia adalah satu respons yang amat baik daripada rakyat, maka kita harapkan dan juga memohon kepada Kementerian Kewangan khususnya supaya peruntukan dapat dipertimbangkan dan ditambah untuk tahun 2027 kerana ini merupakan satu program inisiatif kos sara hidup yang secara langsung sampai kepada rakyat.
"Rakyat kita boleh memanfaatkan subsidi itu secara bersasar dan secara langsung di lapangan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Selawat dan Tadabbur Syukbah Wanita Parlimen Papar, di Masjid Daerah Papar, pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, PJRM yang dirintis pada 2023 sebagai program jualan murah secara tidak tetap, kemudiannya dijadikan inisiatif tetap kerajaan dengan peruntukan khusus mulai 2024.
"Jumlah transaksi PJRM turut menunjukkan peningkatan ketara daripada 9.2 juta pada 2023 kepada 12.8 juta pada 2024, sebelum meningkat kepada 27.5 juta pada 2025.
"Untuk tahun ini sahaja, daripada 1 Januari hinggalah kepada 23 September, jumlah transaksi di PJRM telah pun mencapai angka 31.8 juta pembelian di Jualan Rahmah kita di seluruh negara," katanya.
Armizan berkata, sejak 2024, PJRM turut mempunyai sasaran tahunan dan bulanan berdasarkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan setiap DUN disasarkan melaksanakan sekurang-kurangnya tiga program berkenaan.
Katanya, pelaksanaan PJRM turut diperluaskan dengan penglibatan peniaga, syarikat dan koperasi dalam subsektor peruncitan, selain dipelbagaikan melalui penganjuran di dalam dan luar premis serta secara bergerak.
"Begitu juga kita telah memperkenalkan penganjuran PJRM secara bertema, PJRM musim gaji, PJRM musim perayaan, begitu juga PJRM yang kita laksanakan masa musim sekolah sama ada di bandar, luar bandar, mahupun di kawasan pedalaman," katanya.
Dalam pada itu, KPDN akan memperluaskan akses maklumat Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dengan memasang pelekat khas takwim program itu di lokasi tumpuan awam mulai 1 Oktober ini.
Armizan berkata, langkah itu diambil bagi memastikan lebih ramai rakyat mengetahui jadual penganjuran PJRM selepas masih terdapat golongan yang belum maklum mengenai penjadualan program berkenaan.
"Kita ingin perluaskan lagi maklumat ini, maka kita telah memutuskan bahawa bermula 1 Oktober ini kita akan melekat pelekat khas takwim PJRM ini di tempat-tempat tumpuan awam.
"Ini termasuklah di rumah-rumah ibadat, begitu juga di pejabat premis-premis kerajaan, di stesen-stesen bas, tertakluk kepada permintaan dan juga persetujuan pemilik premis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
