Dua bekas presiden Brazil didakwa rasuah

Rousseff (kiri) dan Lula da Silva diberi tempoh 15 hari untuk tampilkan peguam bela.
Rousseff (kiri) dan Lula da Silva diberi tempoh 15 hari untuk tampilkan peguam bela.
A
A
A
BRASILIA - BRAZIL. Brazil telah membuka prosiding jenayah terhadap bekas pemimpin berhaluan kiri, Luiz Inacio Lula da Silva dan Dilma Rousseff atas tuduhan menerima rasuah dengan wang yang dialihkan dari syarikat minyak gergasi milik negara, Petrobas.

Kedua-dua bekas presiden dari Parti Pekerja (PT) itu bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

Selain mereka, presiden PT dan beberapa bekas menteri turut didakwa terlibat.

Tahun lalu, Peguam Negara, Rodrigo Janot memfailkan aduan mendakwa tertuduh bersekongkol untuk membentuk sebuah organisasi jenayah bagi menerima rasuah AS$390 juta (RM1.6 bilion) yang dialihkan.

Aduan itu telah diterima Mahkamah Persekutuan, semalam yang mengarahkan defendan menampilkan peguam bela mereka dalam tempoh 15 hari.
Artikel Berkaitan:


Ia adalah dakwaan jenayah pertama dikenakan ke atas Rousseff yang memegang tampuk pemerintahan pada 2010 dan dilantik semula pada 2014 sebelum dipecat pada 2016 kerana dituduh memanipulasi akaun awam.

Sementara itu, Lula kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menerima sebuah apartmen tepi pantai sebagai rasuah ketika pemerintahan beliau pada 2003-10. - AFP