Bekas pemimpin sertai pembangkang tidak gugat UMNO

Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Sayembara Penulisan Puisi sempena Sambutan Hari Raya anjuran Persatuan Penulis Johor di Rumah Citra Benut, pada Jumaat.
Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Sayembara Penulisan Puisi sempena Sambutan Hari Raya anjuran Persatuan Penulis Johor di Rumah Citra Benut, pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - Tindakan beberapa pemimpin dan bekas ahli UMNO menyertai parti pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak sesekali menggugat kekuatan UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mereka yang telah dipecat atau digantung keahlian boleh memilih apa juga parti namun yang masih menjadi ahli UMNO dinasihatkan tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit.

Katanya, tersebar berita ada dalam kalangan bekas pemimpin UMNO yang pernah menjawat jawatan menteri atau timbalan menteri memilih untuk menyertai pembangkang bagi meneruskan karier politik masing-masing.

“Mereka ini mendapat jawatan menteri atas tiket Barisan Nasional (BN) dan UMNO, nampak hebat dari segi imej tetapi apabila tidak tercalon mengambil keputusan menentang parti.

"Jangan disebabkan tidak tercalon, maka hendak tinggal UMNO, saya harap rakan-rakan yang berhasrat meninggalkan parti tidak melakukannya," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan I berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Perjumpaan Raya Persatuan Penulis Johor di Rumah Citra Sri Benut di sini pada Jumaat.

Pada Jumaat, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dilaporkan antara lebih 10 bekas pimpinan UMNO yang sudah mengisi borang permohonan menganggotai parti Pas.

Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula menunjukkan minat untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, satu pengumuman penerimaan keahlian tokoh-tokoh politik berkenaan dijangka akan dibuat penghujung bulan ini.

Dalam pada itu, timbul desas-desus menyatakan bekas Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique pula akan menyertai Pas.