KPLB serah sumbangan RM8,437 kepada keluarga Muhammad Adib

A
A

PUTRAJAYA - Keluarga wira Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban selepas insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ November tahun lalu mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun hari ini menyampaikan sumbangan sebanyak RM8,437 melalui Tabung Wira Merah PB Muhammad Adib KPLB yang ditubuhkan sejak 20 Disember lalu.

Sumbangan itu disampaikan dalam Majlis Amanat Tahun Baru KPLB 2019 kepada abang Muhammad Adib, Muhammad Asraf.

Hadir sama dalam majlis itu adalah wakil Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Aziz Osman.

“Ia ditubuhkan bagi meringankan bebanan keluarga Allahyarham dan juga bagi menghargai segala jasa dan pengorbanan Allahyarhan bersama Jabatan Bomba Malaysia.

“Sumbangan yang melibatkan semua bahagian, unit, agensi di bawah KPLB telah berjaya mengumpul jumlah keseluruhan sebanyak RM8,437,” kata kenyataan media KPLB, hari ini.

Muhammad Adib yang cedera parah dipukul perusuh meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), 17 Disember lalu.

Jenazah Muhammad Adib dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, keesokan harinya.