'SPR perlu perjelas keperluan rujuk AGC' - Penganalisis

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memperjelaskan keperluan merujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh majoriti mudah pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran berkata, situasi itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan negeri boleh dibentuk sebaik sahaja keputusan penamaan calon diketahui atau perlu menunggu sehingga keseluruhan proses pilihan raya selesai.
"Lazimnya SPR mengumumkan calon yang menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon, manakala parti yang memperoleh kerusi terbanyak hanya dapat dikenal pasti selepas keseluruhan proses pilihan raya selesai.
"Isunya sekarang, adakah GPS boleh membentuk kerajaan pada hari itu? Adakah kerajaan boleh dibentuk serta-merta selepas hari penamaan calon atau perlu menunggu sehingga semua proses selesai?” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun dilapor berkata, sebanyak 721 borang penamaan calon bagi PRN Sarawak sudah dijual kepada parti politik dan individu yang menyatakan hasrat untuk bertanding, setakat Khamis.
Daripada jumlah itu, 40 calon sudah membayar deposit bagi mengesahkan penyertaan mereka dalam pilihan raya berkenaan.

Dalam pada itu, Manimaran berpandangan tidak mustahil lebih separuh kerusi yang dipertandingkan pada PRN Sarawak dimenangi tanpa bertanding sekiranya beberapa parti politik mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, kemungkinan keseluruhan kerusi dimenangi tanpa pertandingan adalah sesuatu yang sukar berlaku.
"Adakah sebahagian kerusi akan dimenangi tanpa bertanding? Ada kemungkinan. Lebih daripada separuh juga ada kemungkinan.
"Bagaimanapun bagi kerusi lain, proses pertandingan tetap perlu diteruskan kerana masih ada calon yang menawarkan diri untuk bertanding," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

