UKM terus lahirkan pakar teknologi

LANSKAP teknologi digital negara berkembang dengan begitu pantas, didorong oleh ke-cerdasan buatan (AI), analitik data raya dan teknologi imersif.
Perkembangan itu menuntut lebih ramai penyelidik berwibawa yang bukan sahaja menguasai teori, malah mampu menterjemahkan ilmu kepada penyelesaian yang memberi impak sebenar kepada industri dan masyarakat.
Dalam konteks inilah Institut Informatik Visual (IVI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memainkan peranan penting sebagai salah sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan teknologi digital negara.
Ditubuhkan lebih sedekad lalu sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dalam bidang informatik visual, IVI menghimpunkan kepakaran rentas disiplin yang merangkumi AI dan pembelajaran mesin, realiti maya dan terimbuh (VR/AR), penglihatan komputer dan simulasi, analitik data raya, pemprosesan imej serta interaksi manusia-komputer (HCI).
Institut yang pernah dikenali sebagai Institut IR4.0 (IIR4.0) ini kini diterajui oleh Pengarahnya, Profesor Ir Dr Riza Sulaiman yang dilantik pada September 2025.
Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang reka bentuk dan pembuatan berbantukan komputer (CAD/CAM), robotik, visualisasi dan pengimejan perubatan.
Hala tuju institut pula dipandu oleh Pelan Strategik IVI 2024–2028. Kekuatan utama IVI bukan sekadar terletak pada kecanggihan makmal dan peralatan penyelidikannya.
Lebih penting ialah ekosistem akademik yang dibina khusus untuk merapatkan jurang antara teori penyelidikan dengan penyelesaian kepada masalah sebenar industri dan masyarakat.
Kecemerlangan ekosistem itu terserlah melalui kejayaan institut melahirkan graduan pascasiswazah yang berkualiti dan menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan.
Pada Majlis Konvokesyen UKM ke-54 yang berlangsung dari 21 hingga 30 November 2026, seramai 16 graduan IVI termasuk penulis sendiri dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Tiga graduan pula dianugerahkan Ijazah Sarjana Sains, sekali gus pencapaian itu membuktikan keberkesanan sistem sokongan dan budaya penyelidikan diamalkan di institut berkenaan.
Satu lagi kekuatan IVI ialah kolaborasinya yang aktif dengan pihak industri. Pada Mei 2025, IVI meraikan 10 rakan industri yang bekerjasama dengannya dalam penyelidikan, inovasi dan latihan.
Pengarah IVI ketika itu, Profesor Madya Dr Rabiah Abdul Kadir menegaskan bahawa kerjasama erat antara universiti dan industri bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan.
Melalui hubungan yang erat itu, IVI satu-satunya institut di UKM menerima komputer AI berkuasa tinggi (HPC) daripada rakan industri IVI seperti ARB Berhad dan VRS Sdn Bhd dan Nextplus Sdn Bhd.
Pada Mac 2026, penuntut UKM berpeluang mengikuti program Sijil Profesional DATA Excellence Series (DEX-Pro IVI-UKM) secara percuma.
Program itu ditawarkan oleh syarikat UKM pemula AEye Insight Sdn Bhd, ditaja sebanyak RM150,000 oleh Karim Engineering Sdn Bhd dan modulnya dibangunkan oleh felo penyelidik IVI.
IVI juga bekerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCOEE) melalui AI Summer Camp TVET Se-Malaysia 2025 bagi mendekatkan teknologi AI kepada pelajar TVET dan politeknik.
Pada Januari 2026 pula, IVI memeterai Surat Hasrat (LOI) bersama La Louie Holdings Sdn Bhd bagi projek Better Health Better Lives 2.0.
Jaringan IVI turut menjangkau peringkat antarabangsa
Pada Jun 2025, IVI menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universitas Ubudiyah Indonesia dalam bidang AI dan teknologi.
Pada September 2026, IVI memeterai LOI bersama Harbin Chulin Beverage Technology Co, Ltd dan Harbin University of Commerce dari China merangkumi penyelidikan makanan pintar, teknologi makanan dan minuman halal berfungsi.
IVI juga menganjurkan siri Persidangan Antarabangsa Informatik Visual (IVIC) dengan edisi ke-9 pada November 2025 bertemakan Future AI-Powered Visual Informatics.
Persidangan itu dianjurkan bersama Persatuan Teknologi Maklumat Malaysia (MITS) dan Globalfront International (GFI) Sdn Bhd.
Satu lagi persidangan berprestij dianjurkan IVI bersama rakan industri GFI ialah Asean-China Regional Cooperation & Development Forum 2026 (ACCD’26) yang menjadikan penglibatan IVI dengan pemain industri dari China dan Asean.
Kajian kedoktoran penulis di bawah seliaan Profesor Dr Mohammad Nazir Ahmad, felo kanan IVI, membangunkan kaedah reka bentuk papan pemuka maklumat (dashboard) yang berasaskan ontologi dan bersepadu dengan tadbir urus dan kaedah itu diujilari dalam konteks pengurusan sisa pepejal pintar.
Selain penyeliaan mantap, suasana kolaboratif dalam kalangan warga IVI turut menyumbang kepada kadar kejayaan pelajar.
Bengkel penulisan ilmiah, seminar perkongsian ilmu dan jaringan kerjasama dengan industri serta agensi kerajaan menjadikan pengalaman menuntut ilmu di sini relevan dengan keperluan semasa.
Bagi golongan profesional mahupun graduan baharu yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah, persekitaran kondusif yang ditawarkan IVI boleh menjadi pemangkin untuk merealisasikan impian akademik tanpa mengorbankan kualiti penyelidikan.
Kejayaan penulis dan rakan-rakan seperjuangan menggenggam ijazah tertinggi ini bukanlah garis penamat.
Sebaliknya, ia bukti nyata bahawa dengan bimbingan felo yang aktif, ekosistem penyelidikan yang tepat dan jalinan erat dengan industri, institusi tempatan mampu melahirkan modal insan bertaraf dunia.
IVI, UKM kekal komited sebagai wadah terbaik untuk generasi penyelidik baharu meneroka sempadan teknologi dan menyumbang kepada pembangunan negara.
*Ahadi Mohd Nasir ialah alumni dan Felo Bersekutu, IVI, UKM dan Pengurus Besar SELVIRO Sdn Bhd (Anak Syarikat Milik Penuh KDEB Waste Management Sdn Bhd)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
