PKP: Polis siasat anak Zahid Hamidi, suami

Huzir
Huzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membuka satu kertas siasatan ke atas anak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah berhubung dakwaan beliau dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman selepas kedua-dua individu itu hadir memberi keterangan, semalam.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

"Siasatan juga dilakukan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melakukan pergerakan tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setelah siasatan dilengkapkan, pihaknya akan merujuk kertas siasatan terbabit ke Pejabat Peguam Negara.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak cuba menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif di kalangan masyarakat seolah-olah polis tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan pelanggaran ini.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan sekali lagi bahawa tiada siapa pun yang akan terlepas daripada sebarang tindakan sekiranya didapati dengan sengaja melanggar apa jua undang-undang negara," katanya.

Terdahulu, Nurulhidayah, 41, memuat naik beberapa gambar di Instagram ketika dia dan suaminya bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad di pejabat masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu mendapat kecaman netizen yang mendakwa Nurulhidayah dan suaminya melanggar PKP dan seolah-olah menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai anak tokoh politik untuk membolehkannya berbuat demikian.

Walaupun foto dimuat naik Nurulhidayah menunjukkan ada penjarakkan sosial namun netizen tetap mengkritik tindakan itu selain menuduhnya sebagai 'kebal' di sisi undang-undang.