Tiga stesen sungai di Selangor lepasi paras bahaya

SHAH ALAM - Tiga stesen pemantauan sungai di Selangor masih merekodkan paras air melepasi tahap bahaya, namun kesemuanya menunjukkan trend penurunan setakat jam 9 pagi pada Rabu.
Berdasarkan data terkini Portal Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), situasi itu menunjukkan penurunan berbanding empat stesen yang merekodkan paras bahaya pada awal pagi Rabu, selepas Sungai Rasau di Klang turun ke paras amaran.
Menurut rekod JPS pada jam 9 pagi, Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam mencatatkan bacaan 2.39 meter, menurun berbanding 2.51 meter sebelum ini.
Bagaimanapun, paras air sungai berkenaan masih melebihi tahap bahaya 2.3 meter sebanyak 0.09 meter.
Sementara itu, dua stesen pemantauan di Sungai Langat turut kekal pada tahap bahaya berdasarkan kemas kini jam 8.45 pagi.
Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat merekodkan bacaan 4.78 meter, menurun sedikit berbanding 4.79 meter sebelum ini, namun masih melebihi paras bahaya 4.2 meter sebanyak 0.58 meter.
Sungai Langat di Dengkil, Sepang pula mencatatkan bacaan 7.76 meter berbanding 7.91 meter sebelum ini, iaitu melebihi paras bahaya 7.5 meter sebanyak 0.26 meter.
Dalam perkembangan sama, Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang yang sebelum ini berada pada tahap bahaya dengan bacaan 3.13 meter, kini turun ke tahap amaran dengan bacaan 2.95 meter setakat jam 9 pagi.
Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang turut berada pada tahap amaran apabila merekodkan bacaan 4.04 meter, melebihi paras amaran empat meter dan menunjukkan trend menurun.
Selain itu, empat lagi stesen pemantauan di negeri ini direkodkan berada pada tahap waspada.
Stesen terbabit ialah Sungai Langat di JPS Sungai Manggis dengan bacaan 2.61 meter dan trend menaik, Sungai Langat di Batu 12, Hulu Langat (41.55 meter) serta Sungai Kapar Kechil di Kampung Perepat (0.72 meter) yang masing-masing tidak menunjukkan perubahan.
Satu lagi stesen ialah Sungai Jenderam di Jenderam Hulu yang mencatatkan bacaan 11.1 meter dengan trend menurun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

