Butang lawan rasuah jadi kemahiran hidup generasi muda

Nurhayati (empat dari kiri, depan) bersama 50 orang pelajar menerusi Program Jelajah Antirasuah Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2026 di UniKL UBIS, Kuala Lumpur pada Selasa.
Nurhayati (empat dari kiri, depan) bersama 50 orang pelajar menerusi Program Jelajah Antirasuah Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2026 di UniKL UBIS, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Generasi muda perlu mempunyai butang pengesanan rasuah bagi mengenal pasti petanda awal salah laku dan mengelakkan diri daripada terperangkap dalam situasi yang boleh menggugat integriti.

Keupayaan mengesan isyarat bahaya itu penting kerana usaha melawan rasuah bukan sekadar pengetahuan mengenai kesalahan berkenaan, sebaliknya satu kemahiran hidup yang perlu dimiliki setiap individu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia - Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, pendekatan itu antara perkara yang ditekankan menerusi Program Jelajah Antirasuah Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2026 bagi membolehkan mahasiswa mengenal pasti risiko rasuah lebih awal.

Menurutnya, Rasuah Busters menerangkan definisi dan kesan rasuah kepada pelajar, tetapi membantu mereka meningkatkan keupayaan mengesan petanda amaran serta cubaan yang boleh membuka ruang kepada perlakuan berkenaan.

“Secara tidak langsung, saya cuba kongsikan dengan pelajar adalah bagaimana kita mempunyai button detector, iaitu satu butang yang memberikan isyarat tentang cara mengendalikan risiko dan perkara yang boleh membuka ruang kepada rasuah.

“Apa yang kami sampaikan kepada pelajar adalah bagaimana mereka boleh mengelakkan perangkap rasuah lebih awal dengan meningkatkan keupayaan diri untuk mengesan red flags dan cubaan yang boleh membawa kepada bibit-bibit rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Program Jelajah Antirasuah IPMA 2026 berkenaan merupakan penganjuran kali ketujuh bersama MARA pada tahun ini dengan penyertaan keseluruhan seramai 5,759 mahasiswa dan UniKL menjadi lokasi terakhir bagi siri jelajah berkenaan pada tahun 2026.

Program yang diadakan di UniKL UBIS, Quill City Mall Kuala Lumpur itu disertai seramai 50 peserta dalam kalangan mahasiswa.

Dalam pada itu, Nurhayati berkata, keupayaan tersebut perlu diterapkan dalam diri generasi muda sebagai persediaan untuk mewarisi negara dengan radar integriti yang sentiasa diaktifkan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, mahasiswa juga perlu mempunyai keberanian untuk mendepani situasi berisiko dan memahami tanggungjawab terhadap diri sendiri serta masyarakat.

“Integriti ini bukan sekadar teori tetapi satu bentuk kemahiran hidup untuk melindungi pelajar.

“Melawan rasuah adalah survival skill yang perlu ada kerana kita jangan bayangkan kemahiran untuk terus hidup itu hanya berkaitan mencari rezeki, sebaliknya perlu diaktifkan setiap kali melihat bahaya di depan mata, terutama daripada sudut rasuah.

“Jangan biarkan diri dibeli dan dibuli. Kita mahu generasi muda peka dalam mengenal pasti situasi yang menjadi perangkap kepada rasuah atau apa-apa bentuk salah laku," katanya.

Dalam masa sama, ujarnya, Rasuah Busters mahu memberi keyakinan kepada pelajar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berani mendepani situasi berkenaan dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik dan Teknologi UniKL, Dr Che Rosmawati Che Mat berkata, program berkenaan penting dalam membentuk generasi berintegriti terutama mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin negara.

Tambahnya lagi, pendedahan mengenai integriti turut membantu pelajar membuat pertimbangan sebelum mengambil sesuatu tindakan, terutama ketika berdepan pengaruh media sosial dan kecerdasan buatan (AI).

“Bila program ini diadakan, kita memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir sejenak. Mereka perlu berhenti sebentar dan menilai sama ada sesuatu tindakan itu betul atau tidak.

“Jika mereka dibentuk dengan integriti sejak awal, nilai itu akan dibawa sehingga menjadi pemimpin kelak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!