IKRAM sedia ganding bahu gerakkan #Malaysia100, bina legasi berteraskan perpaduan, integriti

Badlishah Sham
Badlishah Sham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyatakan komitmen untuk berganding bahu dengan inisiatif #Malaysia100 bagi membina masa depan negara yang lebih bersatu padu, progresif dan makmur menjelang 30 tahun akan datang.

Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, #Malaysia100 merupakan satu gagasan yang berpotensi membawa impak besar kepada masa hadapan negara kerana asas kepada perubahan yang ingin dicapai perlu dibina bermula hari ini.

Menurut beliau, usaha membentuk masa hadapan Malaysia bukan sekadar berkaitan pembangunan ekonomi malah turut merangkumi aspek budaya, sosial, politik dan nilai yang ingin diwariskan kepada generasi seterusnya.

“Masa hadapan negara sebenarnya bermula pada hari ini, bukan 30 tahun akan datang. Persoalannya, apakah warisan yang ingin kita tinggalkan untuk negara ini?” katanya kepada Rasuah Busters pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar mengenang perjalanan negara sejak merdeka, bahkan menjadi titik mula kepada tempoh 31 tahun menuju Malaysia berusia 100 tahun.

Atas semangat itu, Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters) yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub melancarkan gerakan Legasi #Malaysia100 untuk mengajak generasi hari ini yang memegang 'baton' negara menyerahkan 'baton' itu dalam keadaan lebih baik kepada anak cucu kita pada 2057 nanti.

Untuk menyahut gagasan #Malaysia100 itu, Hussamuddin mengajak rakyat Malaysia sepanjang setahun sehingga 31 Ogos 2027 bersama-sama berdialog dan mengemukakan idea bagi membentuk Malaysia yang mahu diwariskan pada 2057.

Badlishah Sham berkata, IKRAM sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dekat dengan masyarakat akar umbi mahu memainkan peranan dalam menyumbang kepada pembentukan legasi negara yang lebih baik menerusi prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar, iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Katanya, kerjasama antara pertubuhan masyarakat sivil, media, NGO dan masyarakat secara keseluruhan penting bagi memastikan #Malaysia100 berkembang sebagai gerakan yang digerakkan oleh rakyat bukan sekadar satu gagasan di peringkat organisasi.

Artikel Berkaitan:

“Rakyatlah yang perlu mendambakan masa depan yang ingin kita lihat untuk Malaysia dalam tempoh 30 tahun akan datang.

"Rakyat juga memainkan peranan dalam mencorakkan kehidupan sosial dan ekonomi serta menentukan arah pembangunan negara,” katanya.

Badlishah berkata, IKRAM turut bersedia menyumbang melalui pengalaman organisasi itu dalam membina hubungan dan kerjasama antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim yang telah diusahakan selama beberapa dekad.

Beliau berkata, perpaduan dan kerjasama antara agama merupakan antara agenda penting IKRAM termasuk melalui pelbagai platform dan gabungan masyarakat sivil yang menghimpunkan pertubuhan daripada latar belakang berbeza.

Antara usaha yang dilaksanakan termasuk kerjasama dengan pertubuhan bukan Muslim dan penglibatan dalam platform seperti Harmony of Nations dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

"Pengalaman itu boleh dimanfaatkan untuk memperluas gagasan #Malaysia100 sekali gus menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan kaum.

“Untuk membina Malaysia yang bersatu padu pada masa hadapan, semua pihak perlu bekerjasama membentuk masyarakat yang harmoni dan bersama-sama membangunkan negara ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan yang mengutamakan persefahaman, kerjasama dan rasa tanggungjawab mampu membantu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja hidup dalam kepelbagaian, malah turut berkongsi aspirasi untuk melihat Malaysia terus maju.

Selain penglibatan masyarakat sivil, IKRAM turut melihat sektor pendidikan sebagai ruang penting untuk menyemai nilai dan membentuk generasi yang mampu menjadi penggerak perubahan negara.

"IKRAM bersama Musleh Berhad menguruskan 62 sekolah dengan lebih 20,000 pelajar, selain mempunyai 54 institusi pendidikan lain.

"Secara keseluruhan, IKRAM mempunyai lebih 100 institusi pendidikan yang merangkumi sekolah rendah dan menengah serta institusi pendidikan lain.

"Jaringan pendidikan ini merupakan peluang besar untuk menyemai nilai murni, memperkukuh semangat perpaduan dan membentuk pelajar sebagai individu yang mampu menyumbang kepada masyarakat," katanya.

Menurut beliau, institusi berkenaan mengguna pakai sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan (KPM) di samping kurikulum Islam yang diluluskan IKRAM, sekali gus menyediakan ruang untuk pembangunan ilmu dan pembentukan nilai secara seimbang.

“Insya-Allah, kita mampu menjadikan pelajar ini sebagai ejen perubahan untuk masyarakat dan negara, sekali gus membantu membangunkan gagasan #Malaysia100,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan generasi muda penting kerana masa hadapan negara bergantung pada nilai, pemikiran dan tindakan yang dibentuk dalam kalangan mereka hari ini.

“Kami bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk bekerjasama dalam membangunkan gagasan #Malaysia100. Kami mahu berganding bahu bagi memastikan matlamat ini dapat dicapai.

“Kami melihat kempen ini sebagai satu idea yang sangat baik, yang mampu membawa rahmat kepada Malaysia, sebuah negara yang bersatu padu, progresif dan makmur, serta mampu menjadi teladan kepada seluruh dunia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!