Rusa sambar dilepas ke Royal Belum untuk kelangsungan Harimau Malaya

Empat ekor rusa sambar dilepaskan ke Taman Negeri Royal Belum bagi memastikan keseimbangan rantaian makanan di habitat semula jadi. Foto Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
Empat ekor rusa sambar dilepaskan ke Taman Negeri Royal Belum bagi memastikan keseimbangan rantaian makanan di habitat semula jadi. Foto Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
A
A
A

GERIK – Sebanyak empat ekor rusa sambar dilepaskan ke Taman Negeri Royal Belum bagi memperkukuh ekosistem hutan dan menyokong usaha pemuliharaan Harimau Malaya.

Inisiatif itu merupakan langkah berterusan kerajaan negeri Perak dalam memulihkan dan memperkaya populasi hidupan mangsa yang menjadi sumber makanan utama Harimau Malaya di kompleks hutan Belum-Temengor.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, usaha berkenaan selari dengan agenda kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti di bawah Perak Sejahtera 2030.

Program pelepasan itu turut membabitkan kerjasama rentas agensi antara kerajaan negeri Perak, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Hadir sama pada program berkenaan, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Teh Kok Lim; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Datuk Halizah Sipun serta Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Lau Ching Fong.

Kok Lim (berdiri atas tiga dari kiri) turut serta dalam program pelepasan rusa sambar di Hutan Simpan Royal Belum baru-baru ini. Foto Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
Kok Lim (berdiri atas tiga dari kiri) turut serta dalam program pelepasan rusa sambar di Hutan Simpan Royal Belum baru-baru ini. Foto Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

Turut hadir, wakil Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan, NRES, Zoo Taiping, Pejabat Daerah dan Tanah Gerik, Yayasan Sultan Idris Shah II, badan bukan kerajaan (NGO) termasuk WWF-Malaysia, RIMAU, Pulau Banding Foundation, Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) serta komuniti Orang Asli setempat.

Menurut hantaran itu, sejak 2021, sebanyak 30 ekor rusa sambar, dua ekor seladang dan 17 ekor babi hutan telah dilepaskan ke Taman Negeri Royal Belum menerusi usaha pemuliharaan secara konsisten.

Artikel Berkaitan:

Langkah berkenaan bertujuan memastikan keseimbangan rantaian makanan di habitat semula jadi, sekali gus menjamin ketersediaan sumber makanan mencukupi bagi menyokong kelangsungan hidup Harimau Malaya serta mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan.

Selain pelepasan hidupan liar, delegasi turut mengadakan lawatan kerja ke kawasan pengayaan habitat yang dibangunkan khusus bagi meningkatkan kualiti habitat serta ketersediaan sumber makanan semula jadi untuk spesies herbivora seperti rusa sambar dan kijang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!