Ujian swab tidak batalkan puasa

Zulkifli ditemubual selepas hadir pada program bual bicara terbitan baharu Bernama TV, Suara Ramadan di Wisma Bernama, Kuala Lumpur.
Zulkifli ditemubual selepas hadir pada program bual bicara terbitan baharu Bernama TV, Suara Ramadan di Wisma Bernama, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengambilan ujian swab bagi menyaring individu disyaki dijangkiti Covid-19 tidak membatalkan puasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan kaedah memasukkan peralatan khusus ke dalam rongga hidung dan belakang anak tekak pada kadar dalaman tertentu didapati tidak membawa gambaran sebagai makan (mengenyangkan) dan minum (menghilangkan dahaga) sehingga membatalkan puasa.

Dari sudut syarak, katanya, ujian seperti itu mempunyai kelonggaran dalam Islam kerana mengambil kira aspek kesihatan seseorang.

"Ujian swab Covid-19 telah diberi pandangan dalam (Jawatankuasa) Fatwa Majlis Kebangsaan pada minggu lepas dan mereka semua bersetuju bahawa kaedah ujian swab yang digunakan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) adalah tidak membatalkan puasa.

"Walaupun masuk (rongga hidung dan mulut), ada membahaskan ia bukan (sehingga) dalam perut yang ternyata membatalkan puasa mengikut hukum syarak. Ia sekadar (masuk) panjang sejengkal dan lebih sikit," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, bagi pesakit dalam siasatan (PUI) Covid-19 yang menjalani kuarantin di pusat kuarantin atau di rumah, Zulkifli berkata, kewajipan berpuasa bergantung kepada kesihatan pesakit dan arahan KKM.

"Dalam hal ini, kita kena lihat apakah sebenarnya arahan KKM kepada PUI itu. Adakah sukatan minum, makan ubat ataupun suntikan itu berjadual dan tidak boleh dielakkan? Adakah dia perlu dimasukkan air dalam badan atau seumpamanya.

"Semua ini kita kena tengok apa yang diputuskan KKM. Oleh sebab itu, kalau prosedur disebabkan perlu makan, minum ubat dan sebagainya, maka dia diharuskan berbuka puasa," katanya yang turut menjelaskan hendaklah pesakit itu qada puasa apabila sudah sembuh kelak. - Bernama

Artikel Berkaitan: