PN perlu luaskan muafakat tawan Putrajaya - Ahmad Samsuri

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) perlu memperluaskan kerjasama politik dengan parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) bagi meningkatkan peluang gabungan itu menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, meskipun mempunyai kekuatan tersendiri, gabungan itu perlu mengakui bahawa sokongan sedia ada masih belum mencukupi untuk membolehkannya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
"Apa yang penting ialah kita mesti bekerja bersama-sama dalam muafakat kita. Muafakat yang kita lebarkan ini, kita ada muafakat PN dan ia berada dalam keadaan baik.
"Tetapi dalam masa sama, untuk menang pilihan raya, kita sahaja pun belum cukup kuat. Kita ada kekuatan, tetapi kita perlu memperluaskan kerjasama," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Ke-53 Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Menara PGRM di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, perbezaan budaya dan pendekatan politik antara parti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk menjalin kerjasama demi mencapai matlamat lebih besar.
Jelasnya, usaha membina persefahaman politik dengan rakan lain mungkin berdepan cabaran, namun perkara itu perlu diusahakan sekiranya PN benar-benar serius mahu membentuk kerajaan.
"Selain daripada kita dalam PN, kita akan ada muafakat kerjasama politik dengan rakan yang lain seperti BN umpamanya, yang mempunyai budaya dan cara yang mungkin berbeza dengan kita.
"Tetapi kita perlu usahakan. Walaupun mungkin kita rasa sukar, kita perlu berusaha," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan matlamat PN bukan sekadar memenangi sebanyak mungkin kerusi dalam pilihan raya, sebaliknya memastikan kemenangan itu diterjemahkan kepada pembentukan kerajaan yang mempunyai sokongan mencukupi.
Mengambil iktibar daripada keputusan PRU lalu, Ahmad Samsuri berkata, PN tidak mahu mengulangi situasi apabila berjaya memperoleh jumlah kerusi yang besar tetapi gagal mencapai matlamat utama untuk menguasai kerajaan Persekutuan.
"Kita bukan sekadar mahu menang pertempuran, tetapi kita mahu memenangi peperangan. Kita tidak mahu hanya menang pertempuran seperti PRU lalu apabila memperoleh jumlah kerusi terbesar, tetapi akhirnya kalah dalam peperangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

