DAP Selangor sasar rampas semula DUN Dusun Tua dari BN

SHAH ALAM - DAP akan bertanding semula di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan sasaran merampas kembali kerusi itu yang kini disandang Barisan Nasional (BN).
Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han berkata, parti itu pernah memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, namun tidak bertanding pada PRN 2023 bagi memberi laluan kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, DAP bukan sahaja akan bertanding di Dusun Tua pada PRN akan datang, malah bertekad memenangi kerusi berkenaan.
Bagi memperkukuh persiapan, beliau berkata, Pengarah Pendidikan Politik DAP Selangor, Syahredzan Johan dan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Wayne Ong telah dilantik sebagai penyelaras DAP di Dusun Tua.
"Jentera pilihan raya akan bergerak di bawah pimpinan kedua-dua penyelaras itu dan meminta semua anggota parti di Hulu Langat membuat persiapan mulai sekarang.
"Mulai hari ini, saya minta semua rakan di Hulu Langat bersiap sedia," katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Selangor yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Hadir sama, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.
Sebagai rekod, kerusi DUN Dusun Tua kini disandang Datuk Johan Abd Aziz daripada UMNO yang memenanginya pada PRN Selangor 2023 dengan majoriti 3,014 undi.
Ucapan Sze Han dilihat memberi isyarat jelas DAP mahu merampas semula kerusi Dusun Tua daripada BN pada PRN akan datang selepas menyerahkan kerusi itu kepada UMNO pada PRN 2023 demi Kerajaan Perpaduan.
Dalam perkembangan berkaitan, Sze Han turut menggesa supaya jumlah kerusi DUN Selangor ditambah bagi mencerminkan pertambahan penduduk dan pengundi di negeri itu.
Menurutnya, Selangor masih mempunyai 56 kerusi DUN sejak 2003 walaupun jumlah pengundi terus meningkat dalam tempoh lebih 20 tahun.
"Pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik turut membawa kepada pertambahan pengundi baharu, selain semakin ramai keluarga berpindah ke Selangor," katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa kawasan DUN yang kini mempunyai lebih 100,000 pengundi, sekali gus menunjukkan keperluan menambah jumlah wakil rakyat.
Sebagai contoh, Sze Han berkata, DUN Kinrara mempunyai 134,016 pengundi berbanding Sungai Air Tawar yang mencatatkan 20,336 pengundi.
"Pengundi Kinrara lebih enam kali ganda. Sebab itu, kerusi DUN Selangor mesti ditambah. Rakyat bertambah, wakil rakyat pun mesti bertambah," katanya.
Dalam pada itu, Sze Han berkata, DAP Selangor turut mencapai sasaran perwakilan wanita dan belia dalam organisasi parti, dengan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai wakil daripada kedua-dua kelompok berkenaan.
Beliau berkata, parti itu juga melancarkan inisiatif Roket Baby pada konvensyen lalu sebagai sokongan kepada keluarga muda yang membesarkan generasi akan datang.
Menerusi inisiatif itu, setiap ahli seumur hidup DAP Selangor yang menyambut kelahiran anak menerima insentif RM500.
Tambahnya, insentif berkenaan akan disampaikan kepada lima bayi yang hadir pada konvensyen berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

