Amanah Pahang tegur budaya berpuak dalam parti

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang menegur budaya berpuak yang masih berlaku dalam parti terutama ketika pemilihan sehingga menjejaskan penghayatan gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang diperjuangkan.
Setiausaha Amanah Pahang, Muhammad Ibrohim Mazalan berkata, ahli dan pemimpin parti sepatutnya mengetepikan perbezaan kumpulan serta terus bekerjasama tanpa mengira sama ada mereka mempunyai jawatan atau sebaliknya.
Katanya, budaya memilih kumpulan sendiri dalam melaksanakan tanggungjawab parti tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua pihak benar-benar menghayati prinsip ‘Rahmatan Lil Alamin’.
"Setiap kali pemilihan, kita masih dalam kumpulan masing-masing. Masih memilih untuk menyampaikan sumbangan. Ini kumpulan saya atau bukan kumpulan saya.
"Kita ada jawatan, kita masih begitu. Apakah ini Islam ‘Rahmatan Lil Alamin’?" katanya ketika membahaskan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional 2026 Amanah di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Ahad.

Muhammad Ibrohim turut mempersoalkan sikap segelintir ahli yang hanya melaksanakan tanggungjawab ketika memegang jawatan politik, tetapi meninggalkannya apabila tidak lagi mempunyai kedudukan.
Tegasnya, Amanah perlu menunjukkan contoh yang baik dalam kalangan ahli sendiri sebelum mengharapkan rakyat menerima dasar serta perjuangan yang dibawa parti itu.
"Bagaimana rakyat nak yakin dengan kita kalau kita sendiri tidak bersikap ‘Rahmatan Lil Alamin’ sesama kita?
"Sepatutnya parti Islam ‘Rahmatan Lil Alamin’ tidak ada masalah dalam pemilihan. Kita boleh bekerjasama sesama kita. Sepatutnya tidak berlaku sebegini," ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Ibrohim turut membangkitkan persoalan mengenai pelaksanaan dasar ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang menurutnya masih belum dapat diteruskan sepenuhnya meskipun Amanah kini bersama dalam kerajaan.
Katanya, parti tersebut mempunyai dasar yang baik, namun usaha menjelaskan serta menterjemahkan dasar berkenaan kepada rakyat perlu diperkukuh supaya manfaatnya dapat dirasai.
Muhammad Ibrohim turut mengingatkan bahawa keyakinan rakyat tidak boleh diperoleh hanya melalui penerangan dasar sebaliknya perlu dibuktikan melalui sikap dan tindakan ahli parti sendiri.
"Rakyat tidak akan bersama kita selagi kita pun tidak menghayati Islam ‘Rahmatan Lil Alamin’. Kita perlu buktikan, baru rakyat akan bersama dengan kita," tegasnya.
Sementara itu, beliau turut menyentuh kerjasama politik di Pahang dengan menyatakan bahawa hubungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu berada dalam keadaan baik.
Kata Muhammad Ibrohim, pihaknya selesa dengan kerjasama berkenaan dan tidak berhasrat supaya hubungan tersebut ditamatkan dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

