BNM didesak siasat Deutsche Bank berhubung transaksi dikaitkan Jho Low - Lip Eng

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menjalankan siasatan terhadap Deutsche Bank (Malaysia) Berhad berhubung dakwaan pemprosesan transaksi bernilai jutaan euro yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, pendedahan bahawa sekurang-kurangnya 24 transaksi berjumlah EUR172.98 juta diproses bank berkenaan antara 2013 hingga 2015 amat mengejutkan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 12 transaksi bernilai EUR21.61 juta dilaporkan berlaku selepas pelbagai amaran mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) muncul pada 2015.
"Bagaimana transaksi bernilai jutaan euro masih boleh diproses walaupun pelbagai tanda amaran telah muncul," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau mendesak BNM menyiasat dakwaan berkenaan dan memaklumkan perkembangan siasatan serta tindakan susulan dalam tempoh 30 hari.
Lip Eng berkata, Malaysia perlu mengambil tindakan tegas sekiranya pelanggaran undang-undang terbukti, seperti dilakukan Singapura yang menutup operasi BSI Bank dan Falcon Bank di negara itu akibat kegagalan serius kawalan pencegahan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.
Menurutnya, jika pelanggaran serius dibuktikan, BNM perlu mengenakan sekatan sewajarnya, termasuk mengesyorkan pembatalan lesen Deutsche Bank (Malaysia) Berhad kepada Menteri Kewangan sekiranya memenuhi syarat undang-undang.
Beliau berkata, rakyat sudah cukup menanggung akibat skandal penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM42 bilion.
"Mana-mana bank yang terbukti melanggar undang-undang mesti dikenakan tindakan tegas, tanpa pilih kasih," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

