Belanjawan Pahang 2027 catat lebihan RM5 juta, hasil disasar RM1.507 bilion

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1.507 bilion dengan jumlah perbelanjaan mengurus dianggarkan RM1.502 bilion bagi tahun 2027.
Sasaran itu dijangka menghasilkan lebihan atau surplus sebanyak RM5 juta.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM454.4 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan untuk membiayai pelbagai projek dan program yang dirancang.
Menurut beliau, Bantuan Prihatin Pahang yang diteruskan melalui Inisiatif Makmur (IM Pahang) melibatkan peruntukan keseluruhan RM245.61 juta sepanjang tempoh lima tahun akan diperluaskan menerusi penjenamaan baharu, Inisiatif Bantuan Negeri Pahang (iBNP) mulai tahun hadapan.
"iBNP menggabungkan semua bentuk bantuan termasuk IM Pahang dan Apresiasi Pahang 1st supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
"Atas komitmen itu, Belanjawan Negeri Pahang 2027 yang bertemakan 'Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan' menggariskan enam teras utama.
"Teras pertama ialah memperkasa pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta modal insan; teras kedua memacu pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan keusahawanan; manakala teras ketiga memantapkan tadbir urus, integriti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
"Turut digariskan ialah teras keempat yang memfokuskan kepada pengukuhan infrastruktur dan kemudahan asas rakyat; teras kelima memelihara alam sekitar serta mengurus sumber negeri secara lestari; dan teras keenam memperkukuh kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, pada Jumaat.
Wan Rosdy berkata, sebanyak RM108.74 juta diperuntukkan di bawah teras pertama dengan beberapa bantuan utama diteruskan dan dipertingkatkan.
"Antaranya Program Tunas Makmur, Bantuan Mahasiswa Anak Pahang, subsidi tiket penerbangan kepada mahasiswa daripada keluarga B40 yang melanjutkan pengajian di Sabah dan Sarawak, penyediaan buku rujukan dan latihan, Program Sajian Kasih Makmur serta pengukuhan Akademi Pahang 1st," katanya.
Bagi teras kedua, beliau berkata kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha memacu pertumbuhan ekonomi secara mampan menerusi peningkatan pelaburan, pemerkasaan keusahawanan serta pengukuhan sektor pertanian, penternakan, perikanan dan pelancongan.

Menurutnya, sebanyak RM167.4 juta diperuntukkan bagi menjayakan agenda tersebut pada tahun hadapan.
"Kita mahu pertumbuhan ekonomi ini diterjemahkan secara langsung kepada kesejahteraan rakyat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh," katanya.
Beliau berkata, menerusi teras ketiga, sebanyak RM49.87 juta diperuntukkan untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan setiap dasar dan program kerajaan negeri dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, pembangunan negeri yang berkesan bukan sahaja bergantung kepada dasar yang baik dan kemampuan kewangan, malah memerlukan sistem pentadbiran yang cekap, telus serta berintegriti.
Bagi teras keempat, Wan Rosdy berkata infrastruktur dan kemudahan asas yang berkualiti merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan ekonomi negeri.
"Untuk tujuan itu, sebanyak RM252.1 juta diperuntukkan di bawah teras ini bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata, menerusi Belanjawan Negeri 2027, kerajaan negeri memperuntukkan RM97.3 juta di bawah teras kelima bagi memastikan khazanah alam semula jadi Pahang terus dipelihara melalui pengurusan sumber asli secara lestari serta penguatkuasaan lebih tegas terhadap pencerobohan tanah dan Hutan Simpan Kekal.
Katanya, sebanyak RM88.4 juta diperuntukkan bagi pengurusan dan pemeliharaan hutan termasuk Ecological Fiscal Transfer (EFT), program penanaman semula pokok, inventori, restorasi serta pelbagai program Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
Tambah beliau, menerusi teras keenam, kerajaan negeri percaya kemajuan ekonomi mesti bergerak seiring dengan pembangunan sosial yang inklusif.
"Matlamat kita bukan sekadar meningkatkan taraf hidup rakyat, tetapi membina masyarakat yang berilmu, sihat, berakhlak, bersatu padu dan mempunyai peluang mengembangkan potensi diri.
"Justeru, pelbagai inisiatif dirangka bagi memperkukuh institusi kemasyarakatan, perlindungan sosial dan kualiti hidup seluruh rakyat Pahang tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
"Antaranya memperkukuh syiar Islam dan institusi keagamaan, membangunkan potensi belia dan memperkasakan sukan, menyantuni masyarakat Orang Asli, memartabatkan wanita, memperkukuh perlindungan sosial serta memperluas akses kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata, inisiatif lain di bawah teras tersebut termasuk memperluas peluang memiliki kediaman selesa, menghargai media, seni, kebudayaan dan warisan, memelihara perpaduan serta keharmonian masyarakat dan memperkukuh peranan komuniti.
Terdahulu, Wan Rosdy berkata sehingga 19 November lalu, kutipan hasil negeri mencapai RM1.203 bilion atau 94.05 peratus daripada sasaran RM1.279 bilion yang ditetapkan tahun ini, sekali gus melepasi paras RM1 bilion bagi lima tahun berturut-turut.
Beliau berkata, hutang negeri juga berjaya dikurangkan daripada RM3.3 bilion kepada RM825 juta, tidak termasuk pinjaman bekalan air yang akan distruktur semula.
"Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), ekonomi Pahang mencatatkan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus, mengatasi purata nasional sebanyak 5.2 peratus.
"Nilai KDNK negeri turut meningkat hampir 28 peratus daripada RM55.44 bilion pada 2021 kepada RM71 bilion pada 2025," katanya.
Menurut beliau, pencapaian tersebut bukan sekadar angka untuk dibanggakan, sebaliknya membuktikan usaha memperkukuh pengurusan negeri dan mengembangkan potensi ekonomi mula membuahkan hasil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

