Pemegang kad DPP dilarang ke Sabah, Sarawak dan Labuan - KDN

KUALA LUMPUR - Pemegang Kad Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang mula dilaksanakan kerajaan pada 1 Januari lepas dilarang memasuki Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen memaklumkan pemegang kad yang diberikan Pas Khas di bawah Peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 itu juga hanya dibenarkan berada di negeri mereka didaftarkan.
KDN memaklumkan sebarang pergerakan ke negeri lain pula memerlukan kelulusan bertulis daripada Pengarah Imigresen Negeri.
Menurut kementerian itu, Program DPP dimulakan bagi mengambil alih fungsi pendaftaran pelarian daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) secara berperingkat.
"Program ini membolehkan kerajaan membangunkan pangkalan data biometrik rasmi yang merangkumi pengesahan identiti, profil keselamatan dan maklumat lokasi, seterusnya memperkukuh kawalan serta pemantauan keberadaan golongan berkenaan," menurut jawapan itu.
KDN menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai bilangan terkini warga Rohingya, penglibatan jenayah, aduan pemalsuan kad UNHCR, lokasi penempatan dan langkah kerajaan mengawal dan menguruskan mereka.
Selain itu, KDN memaklumkan bagi mengelakkan Program DPP menjadi faktor tarikan kemasukan baharu, hanya pelarian yang berada di negara ini sebelum 1 Jan 2023 layak dipertimbangkan untuk menyertai program tersebut.
Kementerian itu memaklumkan pelarian atau pemohon suaka yang masuk secara tidak sah selepas tarikh terbabit tidak akan dipertimbangkan dan berdepan tindakan penguatkuasaan imigresen.
"KDN memaklumkan Kad DPP bukan dokumen perjalanan. Kerajaan menegaskan bahawa pemilikan Kad DPP tertakluk kepada pematuhan undang-undang negara serta syarat-syarat yang ditetapkan.
"Mana-mana individu melanggar undang-undang atau syarat berkenaan akan dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk pembatalan pas dan pengusiran mengikut peruntukan serta proses undang-undang yang berkuat kuasa. Program DPP tidak memberikan taraf pemastautin tetap dan bukan laluan kepada kewarganegaraan Malaysia,” menurut jawapan itu.
Dalam pada itu, KDN memaklumkan seramai 227,414 pelarian dan pemohon suaka berdaftar di Malaysia mengikut rekod UNHCR sehingga 30 Sept lepas, merangkumi 205,273 orang atau 90.2 peratus adalah dari Myanmar, termasuk 132,400 etnik Rohingya.
Kementerian itu memaklumkan Selangor mencatat peratusan tertinggi taburan pemegang kad UNHCR di Semenanjung iaitu 33 peratus (74,028 orang), diikuti Kuala Lumpur 21 peratus (47,333 orang) dan Pulau Pinang 11 peratus (25,357 orang).
KDN memaklumkan setakat 31 Okt lepas, seramai 6,294 etnik Rohingya turut direkodkan berada di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh Semenanjung daripada keseluruhan 11,208 tahanan warganegara Myanmar.
Menurut KDN, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 199 kes jenayah indeks membabitkan pelarian Myanmar dari 2022 hingga Ogos lepas, melibatkan 52 kes pada 2022, 43 kes (2023), 37 kes (2024), 29 kes (2025) dan 38 kes setakat Ogos tahun ini.
Selain itu, PDRM hanya merekodkan satu kes bagi pemalsuan kad UNHCR di Kuala Lumpur membabitkan enam warganegara Myanmar dan kesemua mereka telah dituduh di mahkamah.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
