Rindu suasana Ramadan di Mesir

Zamri menunjukkan gambar-gambar beliau ketika belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1991 hingga 1994.
Zamri menunjukkan gambar-gambar beliau ketika belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1991 hingga 1994.
A
A
A

IPOH - Zaman ketika menjadi penuntut di institut pengajian tinggi adalah antara momen yang pasti dirindui bila Ramadan datang kerana suasana di kampus amat berbeza jika dibandingkan ketika berada di rumah.

Momen itu jugalah yang tidak dapat dilupakan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, 49, yang mengakui sentiasa terkenang suasana menyambut Ramadan ketika menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir dari tahun 1991 hingga 1994.

Menurutnya, sambutan Ramadan di Mesir jauh berbeza dengan Malaysia dari segi kemeriahan kerana rakyat negara itu meraikannya dengan memperbanyakkan amalan dan ibadat pada tengah malam.

“Di Mesir, Ramadannya hidup dengan qiamullail. Suasananya sangat meriah dan satu kejutan budaya ketika saya di sana. Solat tarawih setiap malam satu juzuk al-Quran dan semua masjid penuh dengan orang ramai beribadat.

“Menariknya, pada malam 10 terakhir Ramadan, bukan sahaja solat sunat tarawih satu juzuk, malah sewaktu qiamullail dihabiskan, bacaannya al-Quran sebanyak tiga juzuk sebelum bersahur,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, masyarakat Mesir juga sangat peramah kerana sudah biasa dengan rakyat Malaysia memandangkan sejak tahun 1970-an telah ada pelajar Malaysia menuntut di Universiti Al-Azhar

Menurutnya, warga asing yang berada di Mesir dianggap oleh masyarakat setempat sebagai golongan yang mewarnai kepelbagaian penduduk di sana, malah tak timbul sebarang masalah di negara itu.

“Malah pada hari-hari biasa, penuntut Malaysia turut diberikan penghormatan untuk menjadi imam di masjid-masjid kecil di sana kerana bacaan imam kita ‘sedap-sedap’ belaka.

Artikel Berkaitan:

“Saya sendiri sering menjadi imam di beberapa masjid atas permintaan masyarakat tempatan,” katanya yang merupakan Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Ipoh.

Bercerita mengenai sambutan Ramadan di Malaysia, Zamri berpendapat terdapat banyak perubahan budaya dalam menyambut Ramadan khususnya dari segi amalan dan ibadat sepanjang bulan puasa.

Katanya, budaya menghidupkan malam sepanjang Ramadan mula mendapat tempat masyarakat terutama di kawasan bandar.

“Banyak masjid adakan solat tarawih dengan bacaan al-Quran satu juzuk setiap hari, selain program qiamullail dan tadarus al-Quran,” kata beliau.