Menikah dalam talian

A
A
A

DI tengah-tengah kita berwaspada tentang wabak Covid-19, banyak juga cerita mengenai isteri menyorokkan baju Melayu dan telefon bimbit atau laptop. Kononnya takutkan suami menikah dalam talian atau online.

Semua ini berpunca apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutun (Jawi) memberikan kebenaran kepada pasangan pertama menikah secara dalam talian. Menurut ceritanya, majlis ijab kabul itu berlangsung di dua tempat iaitu di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak dan Setiawangsa di Kuala Lumpur.

Maka hebohlah netizen bercakap pasal hal ini. Ada yang mengingatkan kita pasal filem P Ramlee yang sangat melucukan tentang kahwin lebih daripada satu, Madu Tiga.

Menurut gurauan itu, isteri takut sangat telefon bimbit atau laptop digunakan oleh suaminya untuk menikah seorang lagi.

Sebetulnya kes pasangan yang pertama nikah secara dalam talian itu bukan kes poligami tapi netizen gunakan kebenaran Jawi sebagai bahan gurauan.

Awang sebetulnya tak kisah sangat senda gurau dalam internet atau media sosial. Asal jangan disebar berita palsu atau yang boleh mencemaskan rakyat.

Awang faham rakyat dah ‘terpenjara’ oleh sebab PKP selama lebih sebulan. Betul sangat kata orang, apabila tubuh dikawal, otak pantas berkreatif. Agaknya itulah hikmah PKP.

Prosiding mahkamah dalam talian

Bercakap pasal hal online, khabarnya Badan Kehakiman Malaysia telah membenarkan prosiding di mahkamah disiar secara langsung secara dalam talian. Ini merupakan satu sejarah baharu bagi negara.

Artikel Berkaitan:

Awang diberitahu siaran online itu boleh didapati melalui portal Badan Kehakiman. Ia menarik perhatian puluhan ribu orang. Ini baru kes biasa, yang bukan sensasi. Bukan kes yang membabitkan nama-nama besar atau jumlah wang yang banyak.

Awang rasa langkah Badan Kehakiman dalam soal ini tidak bijak, malah boleh mengundang kontroversi. Kali pertama prosiding tersiar dalam talian, kontroversi tentang bahasa yang digunakan sudah timbul. Banyak orang tidak tahu bahawa perbicaraan di mahkamah negara kita boleh dibuat sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Pada pendapat Awang, ada isu lain yang harus difikirkan juga. Awang tak mahu berlaku ‘perbicaraan di luar mahkamah’. Selama ini pun kita tak mahu sesuatu kes itu dibicarakan secara terbuka oleh orang awam. Mereka membuat hukuman tanpa memahami fakta kes, apa yang boleh dipanggil court of public opinion.

Kita juga tidak mahu netizen menggunakan media sosial untuk ‘menjatuhkan hukuman’. Kita semua tahu bahawa alam media sosial macam dunia koboi. Banyak pengguna media sosial yang menyalahgunakan senjata di tangan mereka.

Awang rasa selagi rakyat kita tidak cukup matang menggunakan media sosial, banyak bahayanya membenarkan prosiding mahkamah disiar secara langsung. Kita nak ikut cara Barat tapi nilai kita bukan nilai Barat. Kita mahu jadi terbuka tapi kita sebetulnya belum sedia untuk buka minda dan fikiran kita. Badan Kehakiman tentu lebih maklum.