[VIDEO] KKM bongkar rangkaian ubat haram bernilai RM500,000

A
A
A

PUTATAN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya merampas barangan kosmetik dan ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM500,000 menerusi serbuan Op Padu yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu, pada Rabu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Asniza Alias berkata, operasi itu dilaksanakan susulan pemantauan dan risikan selama hampir enam bulan terhadap rangkaian pengedar serta penjual produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.

"Operasi ini menyasarkan rangkaian pengedar haram yang membekalkan produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi, terutama di kawasan tumpuan awam seperti tapak tamu, kedai runcit serta beberapa premis lain di seluruh Sabah.

"Susulan risikan selama hampir enam bulan, kita berjaya menyerbu sebanyak 11 premis yang dikenal pasti sebagai pembekal dan penjual produk berkenaan dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM500,000," katanya ketika sidang akhbar di salah sebuah premis serbuan di Petagas, di sini.

Asniza berkata, daripada keseluruhan rampasan itu, sebanyak 27,910 produk farmaseutikal yang disyaki tidak berdaftar, 2,663 produk yang disyaki mengandungi racun berjadual dan 23,101 produk kosmetik yang disyaki tidak bernotifikasi ditemukan.

Asniza (tengah) menunjukkan barangan rampasan KKM dalam sidang akhbar di salah sebuah premis yang diserbu di Petagas, Putatan.
Asniza (tengah) menunjukkan barangan rampasan KKM dalam sidang akhbar di salah sebuah premis yang diserbu di Petagas, Putatan.

"Operasi ini melibatkan 60 anggota penguat kuasa farmasi dari seluruh negara dengan kerjasama kira-kira 50 anggota daripada enam agensi penguatkuasaan lain.

"Kolaborasi strategik antara agensi ini membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, rampasan itu merupakan yang terbesar direkodkan di Sabah bagi tahun ini, dengan antara produk yang ditemukan termasuk antibiotik, ubat penahan sakit, pil perancang keluarga, ubat antikulat dan kosmetik yang mengandungi bahan seperti hydroquinone, tretinoin serta steroid.

"Produk-produk ini mempunyai kesan sampingan tersendiri sekiranya digunakan tanpa pengawasan atau penilaian sewajarnya, termasuk risiko keradangan dan pendarahan usus, kerosakan ginjal, ketidakseimbangan hormon serta kerintangan antibiotik.

"Ubat yang mengandungi racun berjadual sepatutnya diperoleh melalui preskripsi doktor atau dibekalkan oleh ahli farmasi, bukannya dijual secara bebas di kedai runcit atau pasar tamu," katanya.

Asniza berkata, produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran Sabah, khususnya melalui kedai runcit dan tapak tamu, manakala sumber bekalan masih dalam siasatan.

"Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sumber produk berkenaan, termasuk dari mana ubat-ubat ini dibawa masuk.

"Pemilik premis atau individu yang didapati memiliki, menjual dan membekalkan produk farmaseutikal tidak berdaftar boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan," katanya.

Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Jualan Dadah 1952 sekiranya kesalahan terbukti berdasarkan hasil siasatan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli produk kesihatan dan kosmetik serta memastikan produk farmaseutikal mempunyai nombor pendaftaran dan hologram FarmaTag yang sah.

"Orang ramai boleh menyemak status pendaftaran produk melalui laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), manakala ketulenan hologram FarmaTag boleh diperiksa menggunakan aplikasi MyUBAT menerusi fungsi FarmaChecker.

"Jika terdapat sebarang maklumat mengenai penjualan produk tidak sah, orang ramai boleh menyalurkan aduan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA), talian hotline atau mana-mana cawangan penguatkuasaan farmasi negeri," katanya.

Beliau berkata, KKM turut meneruskan Kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko penggunaan ubat tidak sah serta menggalakkan orang ramai menggunakan produk yang selamat dan berdaftar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!