Kita masih bertempur, belum menang

A
A
A

BERBAKI tiga hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga negara ditamatkan, kita nampaknya berjaya mengawal jangkitan Covid-19 dengan baik dan berkesan. Terbukti, dengan ketiadaan vaksin untuk merawat, langkah pencegahan menerusi pelaksanaan PKP sememangnya satu keputusan yang bijak dan tepat.

Disebabkan PKP, kita berjaya menidakkan jangkaan Agensi Penyelidikan JP Morgan terhadap kes Covid-19 di Malaysia. Ramalan mereka bahawa Malaysia akan berhadapan dengan peningkatan sehingga 6,000 kes positif pada pertengahan April ternyata meleset. Sehingga hari ini, kes positif Covid-19 kekal pada paras 5,000 kes sahaja dengan kadar pemulihan kini berada pada tahap 62.4 peratus daripada jumlah kes positif, iaitu antara yang terbaik di dunia.

Malah, stesyen televisyen China, China Global TV Network (CGTN), telah mengiktiraf Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai salah satu daripada tiga doktor terkemuka dalam perjuangan untuk membendung penyebaran Covid-19 di seluruh dunia, bersama dengan Pakar Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Dr Ashley Bloomfield.

Walaupun begitu kejayaan yang kita catatkan, pertempuran kita dalam memerangi Covid-19 masih belum tamat. Penurunan kes positif serta kes baharu Covid-19 dalam fasa pemulihan ini bukanlah bermaksud kita sudah bebas daripada wabak itu. Perang ini masih jauh dan dijangka mengambil masa yang panjang. Kita tidak mahu kejayaan yang sedikit ini akan menjadikan kita leka dan kemudian akhirnya menjadikan kita umpama kata pujangga Inggeris win the battle, but lose the war (memenangi pertempuran, tapi kalah perang).

Pengajaran dalam kes Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Singapura – iaitu antara negara yang terawal berjaya mengawal penyebaran kes Covid-19 – selain Wuhan, China perlu kita jadikan iktibar. Pada pertengahan Mac lalu, mereka telah berjaya melandaikan graf kes positif Covid-19 menerusi kaedah PKP tetapi malangnya mereka sekarang ini terpaksa berperang semula dengan wabak itu. Ini disebabkan mereka mengalami pengimportan semula (re-importation) jangkitan disebabkan oleh pelancong yang masuk dari tempat yang tidak berjaya melawan Covid-19.

Hal yang serupa juga mungkin akan berlaku di Malaysia. Sekarang ini pun sudah muncul kluster baharu Covid-19 berpunca daripada warga kita yang pulang dari luar negara. Cuba bayangkan kalau PKP ini selesai dan pergerakan keluar masuk ke negara kita kembali seperti biasa, maka kita juga akan menyertai mereka dalam senarai negara tersebut. Dengan kedatangan Ramadan dan sambutan Syawal kemudiannya, pergerakan besar-besaran warga Malaysia untuk pulang ke kampung akan meningkatkan pergaulan sosial yang seterusnya mencerahkan peluang wabak ini untuk menular semula.

Memetik pesanan dan ingatan Dr Noor Hisham pada sidang medianya pada 3 April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, walaupun tempoh PKP sudah berakhir, norma dan amalan kehidupan rakyat Malaysia perlu berubah dan perhimpunan ramai tidak digalakkan dalam tempoh enam bulan hingga setahun. Begitulah jangka masa yang diperlukan bagi memerangi wabak ini dan seterusnya mengembalikan semula kehidupan normal kita seperti sediakala.

Covid-19 tidak akan hilang. Kita tidak akan menghapuskannya. Kita harus bersedia menghadapi prospek bahawa virus ini akan selalu ada, tetapi mudah-mudahan dalam jumlah yang kecil sehinggalah kita dapat mengenal pasti rawatan atau vaksin yang berkesan untuk melawannya.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Artikel Berkaitan: