Peranan China penting dalam perkukuh kerjasama dengan kuasa pertengahan di rantau Asia Tenggara - Anwar

SHENZHEN - China, sebagai antara kuasa teknologi terkemuka dunia, mempunyai peranan penting dalam memperkukuh kerjasama dengan negara kuasa pertengahan di Asia Tenggara, terutamanya dalam kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerjasama sedemikian tidak seharusnya terhad kepada pemindahan teknologi, malah perlu meliputi inovasi bersama, penyelidikan dan pembangunan serta meningkatkan keupayaan teknologi tempatan.
"Turut penting ialah keperluan mewujudkan kerangka tadbir urus yang kukuh dan mekanisme kawalan yang sewajarnya, berteraskan prinsip etika, akauntabiliti dan menghormati sesama insan,” kata beliau dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2026 di sini pada Rabu.
Dalam ekonomi memanfaatkan potensi luar biasa AI, Anwar berkata, mereka tidak boleh mengabaikan prinsip asas bahawa manusia perlu kekal mengawal teknologi yang dicipta itu sepenuhnya dan tidak sekali-kali membiarkan diri dikuasai olehnya.
"Perkembangan realiti baharu ini juga menuntut kita memikirkan semula secara asas prinsip-prinsip yang menjadi landasan kepada kerjasama ekonomi di rantau ini.
"Selama ini, pemahaman kita mengenai keterbukaan lebih banyak ditakrifkan dari segi mengurangkan tarif, meliberalisasikan perdagangan dalam perkhidmatan dan memansuhkan sekatan terhadap pelaburan,” kata beliau.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah ini telah menyumbang kepada pertumbuhan dan integrasi ekonomi.
Bagaimanapun, katanya, akses pasaran sahaja tidak lagi dapat menjamin penyertaan ekonomi yang bermakna dalam era yang semakin dipengaruhi oleh penumpuan teknologi, dasar perindustrian dan persaingan strategik.
"Kita perlu memperluas pemahaman mengenai keterbukaan untuk meliputi keupayaan, peluang dan ruang dasar yang membolehkan ekonomi meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai dan menyertai industri masa depan,” kata beliau.
Beliau berkata, keterbukaan yang saksama perlu berteraskan pemahaman yang lebih realistik mengenai cabaran yang dihadapi oleh pelbagai ekonomi.
"Ia memerlukan orde ekonomi antarabangsa yang mengambil kira kepentingan dan aspirasi pembangunan yang wajar, mengiktiraf kepentingan daya tahan ekonomi dan menyediakan ruang dasar kepada negara untuk menentukan hala tuju masing-masing ke arah mencapai kemakmuran.
"Perdebatan sebelum ini sering kali meletakkan keterbukaan dan ruang dasar pada dua kedudukan yang bertentangan dalam spektrum ekonomi. Sudah tiba masanya kita mengiktiraf bahawa kedua-duanya boleh wujud bersama dan, malah, saling memperkukuh dalam orde ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif,” kata beliau.
Anwar berkata, keterbukaan yang saksama menuntut manfaat integrasi diagihkan dengan lebih meluas bagi memastikan pendekatan itu terus mendapat keyakinan dan sokongan rakyat.
Beliau berkata, APEC, sebagai wadah percambahan idea, mempunyai peranan penting dalam merealisasikan visi ini.
"Kekuatannya terletak pada keupayaannya menyatukan ekonomi yang berbeza dari segi saiz, keupayaan dan tradisi politik serta menggalakkan kerjasama praktikal menerusi dialog, fleksibiliti dan amalan menghormati antara satu sama lain,” kata beliau.
Beliau berkata, keupayaan untuk mencari titik persamaan ini menjadi semakin penting dalam hubungan ekonomi dipengaruhi oleh persaingan dan amalan pengasingan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
