TH kekal 90 peratus pelaburan domestik, 10 peratus pasaran global - Marhamah

Marhamah.
Marhamah.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kira-kira 90 peratus daripada aset pelaburannya dalam pasaran domestik, manakala baki 10 peratus lagi diperuntukkan kepada global sebagai langkah mengimbangi risiko dan memastikan pertumbuhan dana pendeposit secara mampan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, strategi pelaburan agensi itu dilaksanakan berdasarkan rangka alokasi aset strategik (SAA) dan tahap toleransi risiko yang bersesuaian.

Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memastikan dana simpanan pendeposit diuruskan secara berhemat dan kekal selamat, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi serta pasaran kewangan global.

"Pada masa ini, TH memperuntukkan 54 peratus alokasi dalam instrumen pendapatan tetap, 29 peratus dalam ekuiti, 12 peratus dalam hartanah dan selebihnya dalam pasaran tunai.

"Dari segi pendedahan geografi, hampir 90 peratus daripada aset pelaburan TH dilaburkan dalam pasaran domestik, manakala baki 10 peratus pula dalam pasaran global," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berhubung langkah komprehensif TH dalam mengimbangi pelaburan domestik dan global bagi memastikan agihan hibah yang kompetitif ketika ketidaktentuan ekonomi dunia.

Menurut Marhamah, walaupun rangka SAA membenarkan pendedahan lebih besar kepada pasaran global, aktiviti pelaburan TH perlu mematuhi garis panduan pertukaran mata wang asing yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM), sama seperti syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain.

Katanya, rangka SAA turut disemak setiap tiga tahun bagi memastikan strategi pelaburan dan pengurusan risiko mengambil kira perubahan semasa dalam persekitaran ekonomi serta pasaran modal.

Dalam memastikan setiap keputusan pelaburan dibuat secara teliti, TH turut mengamalkan tadbir urus berperingkat yang melibatkan penelitian pihak pengurusan, Panel Pelaburan dan Lembaga sebelum dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk pertimbangan dan kelulusan mengikut bidang kuasa ditetapkan.

"Penekanan terhadap pengurusan dan pemantauan risiko serta pematuhan Syariah diterapkan dalam setiap proses pelaburan," katanya.

Mengulas prestasi kewangan TH, beliau berkata, langkah pengurusan pelaburan berkenaan berjaya menyokong keupayaan institusi itu mengagihkan keuntungan kepada pendeposit secara mampan.

Katanya, kadar agihan keuntungan TH meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus pada 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Peningkatan itu turut disokong pertumbuhan nilai aset pelaburan atau Assets Under Management(AUM) TH daripada RM75.8 bilion pada 2018 kepada RM96.4 bilion pada 2025.

"Ini merupakan peningkatan sebanyak RM20.6 bilion atau 27 peratus dalam tempoh berkenaan.

"Secara keseluruhannya, TH telah mengagihkan keuntungan sebanyak RM50 bilion kepada pendeposit sejak 1966 hingga 2025," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!