Lori terbiar rupanya sorok rokok RM5.6 juta

PGA menemukan lebih tiga juta batang rokok putih tidak bercukai bernilai RM5.6 juta di dalam sebuah lori yang ditinggalkan di kawasan lapang di Kampung Tok Dokang, Kota Bharu pada Selasa. Foto PGA
PGA menemukan lebih tiga juta batang rokok putih tidak bercukai bernilai RM5.6 juta di dalam sebuah lori yang ditinggalkan di kawasan lapang di Kampung Tok Dokang, Kota Bharu pada Selasa. Foto PGA
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Sebuah lori yang ditinggalkan di kawasan lapang di Kampung Tok Dokang di sini mengundang perhatian Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas pemeriksaan menemukan lebih tiga juta batang rokok putih tidak bercukai bernilai RM5.6 juta pada Selasa.

Rampasan menerusi Op Taring Wawasan itu turut melibatkan sebuah lori jenis Isuzu berwarna hijau yang dianggarkan bernilai RM180,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM5.81 juta.

Sejumlah bungkusan guni berwarna hijau mengandungi lebih 3.01 juta batang rokok putih. Foto PGA
Sejumlah bungkusan guni berwarna hijau mengandungi lebih 3.01 juta batang rokok putih. Foto PGA

Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 7.30 pagi oleh Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan anggota Risik Batalion 7 PGA dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kota Bharu.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan hasil maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai sebelum pasukan operasi menjalankan pemantauan selama kira-kira tujuh jam di lokasi berkenaan.

"Pasukan mengesan sebuah lori yang ditinggalkan di kawasan lapang dan melakukan pemerhatian sebelum pemeriksaan dibuat apabila tiada individu datang menghampiri atau mengambil kenderaan terbabit.

"Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori menemukan sejumlah bungkusan guni berwarna hijau mengandungi lebih 3.01 juta batang rokok putih," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Lebih 3.01 juta batang rokok putih ditemukan di bahagian belakang lori. Foto PGA
Lebih 3.01 juta batang rokok putih ditemukan di bahagian belakang lori. Foto PGA

Beliau berkata, kesemua rokok serta lori berkenaan dirampas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, hasil semakan mendapati lori itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat berpangkalan di Lunas, Kedah, manakala pemeriksaan melalui aplikasi MCAD tidak menemukan sebarang rekod lampau berkaitan kenderaan berkenaan.

"Tiada tangkapan dibuat dalam operasi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Rampasan akan diserahkan kepada JKDM untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!