Kolej Mara Banting bentuk generasi berprinsip, bukan sekadar cemerlang akademik

BANTING - Integriti menjadi asas penting dalam membentuk ekosistem pendidikan berkualiti selain melahirkan graduan yang diyakini di peringkat global.
Pengarah Kolej Mara Banting (KMB), Arfaseela Amiruddin berkata, dalam dunia pendidikan yang semakin kompetitif, kecemerlangan akademik sahaja tidak lagi mencukupi dan apa yang membezakan seseorang graduan di pentas antarabangsa ialah kekuatan nilai integriti dan jati diri yang dibawa bersama.

Menurutnya, di KMB, integriti bukan sekadar slogan atau poster yang menghiasi dinding kampus, sebaliknya menjadi budaya yang diterapkan dalam setiap aspek pengurusan, pembelajaran dan kehidupan warga kolej.
"Sebagai sebuah institusi yang melahirkan pelajar untuk program antarabangsa seperti International Baccalaureate, penerapan nilai integriti amat kritikal bagi memastikan produk yang kita hasilkan mampu bersaing di peringkat global dengan reputasi yang holistik.
"Pembinaan budaya integriti bermula daripada warga kerja institusi sendiri. Pensyarah, pentadbir dan seluruh kakitangan memainkan peranan sebagai arkitek utama dalam membentuk persekitaran yang menjunjung amanah, ketelusan dan profesionalisme," katanya kepada Rasuah Busters selepas program Jelajah Antirasuah IPMA 2026 baru-baru ini.
Jelajah antirasuah berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Rasuah Busters, disertai hampir 200 pelajar termasuk pelajar International Baccalaureate Special Track (IBST).
Program tersebut turut diadakan dengan pengisian ceramah integriti yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin.
Menurut Arfaseela, integriti dalam kalangan kakitangan bukan sahaja merangkumi ketelusan dalam proses pemarkahan akademik malah melibatkan akauntabiliti dalam pengurusan, kejujuran dalam membuat keputusan serta komitmen melaksanakan tugas secara beretika.
"Sebagai pendidik dan mentor, kami merupakan suri teladan paling hampir kepada pelajar. Apabila warga kerja mengamalkan budaya kerja yang amanah, cekap dan telus, nilai tersebut akan dipelajari secara semula jadi oleh pelajar," jelas beliau.
Beliau turut menekankan pelajar KMB merupakan bakal pemimpin dan profesional masa hadapan yang akan menyambung pengajian di universiti-universiti terkemuka luar negara.
Oleh itu, tegasnya, integriti akademik perlu dibina sejak awal agar mereka mampu membawa nama negara dengan penuh tanggungjawab.
"Amalan seperti menjauhi plagiarisme, bersikap jujur ketika peperiksaan, menghormati hak intelek serta memiliki disiplin diri yang tinggi merupakan asas penting dalam membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu malah mempunyai kredibiliti yang tinggi.
"Bagi saya, kejayaan sebenar bukan sekadar diukur melalui keputusan peperiksaan atau pencapaian akademik, tetapi sejauh mana seseorang itu mampu mempertahankan prinsip dan nilai ketika berhadapan dengan cabaran kehidupan.
"Kami mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja bijak, tetapi juga berprinsip. Apabila mereka berada di perantauan kelak, nilai integriti dan jati diri inilah yang akan menjaga nama baik diri, keluarga, institusi, Mara dan negara," katanya.
Beliau berharap seluruh warga Kolej Mara Banting akan terus mempertahankan budaya integriti sebagai identiti institusi, sekali gus membuktikan bahawa kecemerlangan pendidikan yang sebenar lahir daripada gabungan ilmu, sahsiah dan nilai yang kukuh.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Unit Integriti Mara, Ahmad Zuriat Ahmad Tejuddin berkata, sambutan luar biasa daripada pelajar dengan mencatatkan kehadiran 100 peratus membuktikan komitmen tinggi warga KMB terhadap usaha memperkukuh budaya integriti dalam kalangan generasi muda.

Apa yang lebih membanggakan, katanya, pengisian yang dibawakan oleh Rasuah Busters bukan sekadar memberi pendedahan mengenai bahaya rasuah, malah berjaya menyentuh hati dan pemikiran para pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke luar negara.
Beliau berkata, sebagai pelajar yang akan membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa, mereka memikul tanggungjawab besar untuk menjadi contoh kepada masyarakat global, bukan sahaja dari segi kecemerlangan akademik, malah melalui akhlak, etika dan integriti.
"Program Rasuah Busters ini mengukuhkan lagi prinsip-prinsip integriti dalam diri para pelajar. Apabila mereka berada di luar negara kelak, mereka bukan sahaja mewakili diri sendiri atau institusi, tetapi juga membawa nama baik Malaysia.
"Nilai amanah, kejujuran dan integriti yang diterapkan melalui program ini pasti mampu membentuk generasi pemimpin masa depan yang berpegang teguh kepada prinsip sekali gus menjadi duta kecil negara yang mengharumkan nama Malaysia melalui sahsiah dan budi pekerti yang tinggi," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Rasuah Busters atas komitmen berterusan dalam menyebarkan mesej antirasuah dan membudayakan integriti dalam kalangan generasi muda.
"Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan kerana pembentukan masyarakat yang bebas rasuah bermula dengan pendidikan dan pembinaan nilai dalam diri anak-anak muda hari ini," katanya.
Sementara itu, Nurhayati turut berkongsi amalan whistleblowing atau pendedahan salah laku merupakan instrumen penting dalam membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Namun, ujarnya, tindakan tersebut mestilah dibuat secara bertanggungjawab, berdasarkan bukti yang sahih dan melalui saluran yang betul bukannya berasaskan sangkaan atau tuduhan tidak berasas.
"Kita mesti bersedia untuk menegakkan kebenaran, tetapi bukan dengan cara memfitnah. Matlamat yang baik tidak menghalalkan cara.
"Dalam memperjuangkan sesuatu yang benar, kaedah yang digunakan juga mestilah benar. Niat yang baik tidak boleh dijadikan alasan untuk menggunakan pendekatan yang salah atau melanggar prinsip etika," katanya.
Selain itu, tegas beliau, budaya komunikasi yang beradab perlu sentiasa dipelihara serta menyampaikan pandangan atau menegur kesalahan tidak seharusnya dilakukan dengan bahasa yang kasar, menghina atau menjatuhkan maruah orang lain.
Sebaliknya, beliau berkata, masyarakat digalakkan menggunakan kata-kata positif, mengamalkan kebijaksanaan serta hikmah dalam setiap tindakan.
Beliau turut menggariskan tiga pendekatan utama yang perlu menjadi panduan dalam usaha membawa perubahan, iaitu engage, empower dan reform yang melibatkan masyarakat, memperkasa individu serta melaksanakan pembaharuan secara berterusan.
Namun, beliau menegaskan perubahan yang sebenar bermula daripada diri sendiri.
"Sebelum berusaha mengubah masyarakat, setiap individu perlu bermuhasabah dan mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki dalam diri masing-masing.
"Transformasi tidak akan berjaya jika kita hanya melihat kelemahan orang lain tanpa memperbaiki kelemahan diri sendiri. Perubahan yang besar sentiasa bermula dengan perubahan peribadi," katanya.
Beliau berharap masyarakat Malaysia akan terus membina budaya integriti yang mampu melahirkan komuniti bertaraf global, membawa rahmat kepada seluruh alam serta menyumbang ke arah sebuah Malaysia yang lebih adil, berintegriti dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

