Baitulmal perlu berperanan jana kekayaan baharu, bukan sekadar agih bantuan

KUALA NERUS - Institusi Baitulmal perlu beralih daripada peranan tradisional sebagai badan pengutip dan pengagih bantuan kepada institusi yang mampu menjana kekayaan baharu demi memperkukuh kewangan sosial Islam serta memperluaskan peluang ekonomi rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, pendekatan yang hanya menumpukan kepada penyaluran bantuan sara hidup secara langsung tidak lagi memadai dalam berdepan cabaran ekonomi yang semakin mencabar dan tidak menentu.
Menurutnya, Baitulmal perlu memainkan peranan lebih besar dengan membuka ruang dan peluang ekonomi kepada masyarakat, sekali gus membantu mereka meningkatkan taraf hidup secara mampan.
"Pandangan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz yang menyifatkan kemiskinan bukan sekadar berpunca daripada kekurangan pendapatan, sebaliknya kekurangan peluang untuk memperbaiki kehidupan, wajar dijadikan asas dalam merangka hala tuju institusi tersebut.
"Atas sebab itu, Baitulmal tidak boleh hanya berfungsi mengurangkan kesan kemiskinan, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada peluasan peluang ekonomi rakyat.
"Ia perlu berkembang sebagai institusi yang bersifat generatif, bukan sekadar mengagihkan kekayaan sedia ada tetapi turut menjana sumber baharu yang boleh dimanfaatkan secara berterusan oleh masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan (KBK) 2026 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini pada Selasa.
Menurut Zulkifli, terdapat tiga pendekatan utama yang perlu diberi perhatian bagi memastikan Baitulmal mampu menjadi pemacu pembangunan sosioekonomi umat Islam secara lebih mampan.
Katanya, pendekatan pertama ialah mengubah fokus daripada bantuan langsung kepada usaha pemerkasaan ekonomi menerusi gabungan instrumen zakat, wakaf dan pembiayaan mikro Islam.
"Dana Baitulmal perlu distruktur semula melalui integrasi pelbagai instrumen kewangan sosial bagi membolehkan golongan asnaf dibantu sehingga mampu keluar daripada kelompok penerima bantuan dan seterusnya menjadi pembayar zakat.
"Kita perlu menukarkan penerima zakat menjadi muzakki melalui pembiayaan mikro Islam tanpa faedah yang disokong modal wakaf bagi menyediakan ruang perniagaan serta latihan kemahiran," katanya.
Menurut beliau, pendekatan kedua adalah memperkasakan penggunaan teknologi kewangan (fintech) dan pengurusan data yang lebih berintegriti bagi meningkatkan kecekapan serta ketelusan pengurusan Baitulmal.
Beliau berkata, teknologi seperti blockchain dan kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan bagi membangunkan sistem pengurusan yang lebih telus dan berupaya beroperasi merentasi pelbagai agensi.
Selain itu, katanya, integrasi data raya (Big Data) antara institusi agama negeri, agensi persekutuan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) amat penting bagi mengelakkan ketirisan serta pertindihan bantuan.
"Usaha ini juga mampu meningkatkan keyakinan masyarakat untuk menyalurkan dana infak melalui institusi rasmi," ujarnya.
Mengulas pendekatan ketiga, Zulkifli berkata, pembangunan wakaf berimpak tinggi perlu diperkasakan melalui kerjasama strategik melibatkan kerajaan, sektor korporat dan institusi agama.
Menurutnya, pihak berkuasa agama perlu membuka ruang kepada instrumen korporat seperti sukuk wakaf dan dana pelaburan Baitulmal bagi menarik penyertaan syarikat korporat serta institusi perbankan Islam.
"Langkah itu berpotensi membiayai pelbagai projek pembangunan sosial dan alam sekitar termasuk hospital komuniti, perumahan mampu milik, hab pendidikan asnaf serta akses tenaga hijau yang mampan dan ekonomik.
"Pendekatan ini juga selari dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kini menjadi agenda utama di peringkat global," katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, institusi Baitulmal perlu mengadaptasi konsep Pertukaran Sosial Merentas Platform (Cross-Platform Social Exchange) menerusi pembangunan gerbang digital bersepadu yang menghubungkan data antara negeri.
Menurut beliau, langkah tersebut mampu mengurangkan kos akibat ketidakcekapan operasi selain mewujudkan standard baharu dari segi ketelusan dan akauntabiliti.
Beliau berkata, kejayaan transformasi digital dapat dilihat melalui peningkatan kutipan zakat fitrah di Wilayah Persekutuan yang meningkat 10 peratus kepada RM18.3 juta pada tahun 2026 dengan lebih 1.5 juta pembayar.
"Sebanyak 40 peratus kutipan diterima secara dalam talian manakala penggunaan transaksi Kod QR Amil mencatat peningkatan sebanyak 63 peratus.
"Ini membuktikan masyarakat bersedia memberikan sokongan yang lebih besar apabila disediakan platform digital yang mudah, cepat dan mesra pengguna," katanya.
Beliau turut memaklumkan penggunaan teknologi dalam tadbir urus wakaf telah membantu meningkatkan akses masyarakat kepada sumbangan wakaf tunai di seluruh negara.
Berdasarkan survei statistik Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), jumlah sumbangan wakaf tunai meningkat daripada RM64.6 juta pada tahun 2020 kepada RM240 juta pada tahun 2025, iaitu pertambahan RM175.4 juta atau 271.52 peratus.
Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata, Malaysia turut mencipta sejarah dalam bidang pengurusan kewangan Islam menerusi penghasilan Piawaian Perakaunan Bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) pada tahun 2024.
Menurut beliau, dokumen berkenaan merupakan standard perakaunan pertama di dunia yang dibangunkan khusus sebagai panduan kepada institusi Baitulmal, zakat dan wakaf di negara ini.
"Ini merupakan pencapaian yang membanggakan dari aspek akauntabiliti dan integriti dalam pengurusan kewangan Islam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

