Banjir berulang, kelewatan bantuan di Selangor dipersoal

SHAH ALAM - Kelewatan penyaluran bantuan bencana oleh Pejabat Daerah dan Tanah di Selangor dibangkitkan apabila terdapat penduduk yang kembali dilanda banjir sebelum sempat menerima bantuan bagi kejadian sebelumnya.
Isu itu dibangkitkan Danial Al-Rashid Haron (PH-Batu Tiga) yang mempersoalkan tempoh penyaluran bantuan kepada mangsa banjir serta sama ada bantuan diberikan berulang kali sekiranya kawasan sama dilanda bencana lebih daripada sekali dalam setahun.
"Bahkan saya ingat di Kota Kemuning, Bukit Rimau pun pernah berlaku, belum pun dapat bantuan, namun berlaku lagi banjir di kawasan tersebut," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan berhubung isu kelewatan penyaluran bantuan banjir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Selasa.
Menjawab perkara itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, kerajaan negeri mengakui keperluan mewujudkan mekanisme khusus bagi menangani penyaluran bantuan kepada mangsa yang berdepan banjir berulang.
Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan bersama pihak pengurusan bencana negeri bagi mengenal pasti kaedah paling berkesan, termasuk menentukan sama ada bantuan perlu diberikan secara sekali sahaja atau berulang mengikut kejadian.
"Susulan kejadian banjir yang berulang, terutamanya di Kampung Melayu Subang, kita lihat perlu ada satu mekanisme khusus untuk menangani keadaan ini.
"Sudah masuk PPS (pusat pemindahan sementara), balik semula ke rumah (selepas banjir surut), (namun) sehari dua banjir lagi, kemudian kena pergi PPS.
"Saya akan bincang dengan pihak pengurusan bencana negeri untuk melihat mekanisme paling berkesan bagi menangani masalah bencana berulang ini," katanya.
Dalam perkembangan sama, Danial turut meminta KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) meneruskan usaha membantu mangsa banjir menerusi penyediaan tong Roro dan petugas bagi menguruskan barangan rosak akibat bencana.
Beliau turut mengingatkan supaya kerja pembersihan diperluaskan ke lorong perumahan yang mungkin terlepas pandang.
Mohd Najwan berkata, pihaknya akan terus memantau dan meningkatkan mutu perkhidmatan KDEBWM bagi membantu mangsa banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

