Tabung empat masjid dicuri dalam tempoh dua hari

TUMPAT – Empat masjid di sekitar daerah ini menjadi sasaran pencuri apabila tabung sumbangan orang ramai diumpil dan wang dicuri dalam empat kejadian berasingan yang berlaku antara Isnin hingga Rabu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, polis menerima empat laporan membabitkan kejadian di Masjid Al Aziz Al Hadi, Mukim Kota Warisan, Masjid Nurul Hidayah Kampung Gerong, Palekbang, Masjid Kampung Kok Keli, Palekbang dan Masjid Ar-Rahman Kubang Batang, Chabang Empat.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan modus operandi hampir sama iaitu mengalihkan tabung dari kedudukan asal sebelum mengumpilnya bagi mengambil wang di dalam tabung berkenaan.
“Kami giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Sebelum ini, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Masjid Ar-Rahman Kubang Batang, Chabang Empat pada jam 1.45 pagi, Selasa, menunjukkan dua lelaki memakai pelitup muka masuk ke dalam masjid dan menutup suis lampu.
Dua suspek berkenaan kemudian dilihat mengusung tabung masjid hingga ke kawasan luar berhampiran pagar bagi mencuri wang berkenaan sebelum beredar.
Beliau berkata, sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di talian 09-725 7222.
“Semua laporan dibuat oleh ahli jawatankuasa masjid terlibat dan umlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

