70mai raih pengiktirafan ASEAN Records, Syafiq Kyle rakan produk A900

JENAMA teknologi automotif, 70mai memperkenalkan siri kamera papan pemuka (dashcam) terbaharu, A900 yang dilengkapi teknologi rakaman 4K dwi-kamera bagi meningkatkan keselamatan dan pengalaman pemanduan pengguna.
Pelancaran yang berlangsung pada pameran International Automodified (IAM Kuala Lumpur 2026) di Serdang, Selangor pada 8 November lalu itu turut menyaksikan pelakon tempatan, Syafiq Kyle dilantik sebagai Rakan Produk Siri A900 bersempena sambutan ulang tahun ke-10 jenama berkenaan.
Pada majlis sama, 70mai menerima pengiktirafan ASEAN Records selepas merekodkan jualan 425,810 unit dashcam menerusi Shopee, Lazada dan TikTok Shop di Malaysia serta Thailand dari Januari 2025 hingga Ogos 2026.
Rekod ‘Most Dashcam Units Sold Across Three E-Commerce Platforms in Two Countries in 20 Months’ itu disahkan menerusi proses pengesahan bebas terhadap transaksi sebenar di ketiga-tiga platform e-dagang terbabit.

Ketua Jenama 70mai Asia Tenggara, Serene Wong berkata, pengiktirafan itu mencerminkan kepercayaan pelanggan serta sokongan rakan niaga dan pasukan tempatan terhadap jenama berkenaan.
“Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ASEAN Records ini.
“Pencapaian ini mencerminkan kepercayaan pelanggan kami di Malaysia dan Thailand, selain sokongan kuat rakan kongsi serta pasukan tempatan.
“Kami percaya setiap pemandu berhak menikmati keyakinan dan ketenangan lebih besar di jalan raya,” katanya.
Teknologi rakaman 4K dan keselamatan
Siri A900 ditawarkan menerusi dua model iaitu A900 Ultra dan A900 dengan keupayaan rakaman 4K bagi kamera hadapan dan belakang.
Model A900 Ultra sebagai produk andalan menggunakan sensor Sony STARVIS 2 IMX678 pada kedua-dua kamera bagi menghasilkan rakaman 4K sebenar.
Ia turut dilengkapi teknologi pemindahan digital LVDS pada kamera belakang yang menawarkan rakaman tanpa kehilangan kualiti dengan latensi serendah 20 milisaat, selain penggunaan kabel lebih nipis dan menjimatkan ruang pemasangan.

Bagi menghadapi perubahan pencahayaan ketika pemanduan, model berkenaan menggunakan teknologi MaiColor Vivid+ Solution 2.0 dan 70mai Night Owl Vision 2.0 untuk menghasilkan warna lebih jelas pada waktu siang serta mengurangkan hingar ketika rakaman malam.
Teknologi Lumi Vision pula membolehkan rakaman berwarna dilakukan dalam keadaan hampir gelap sepenuhnya ketika mod pengawasan parkir.
Sistem Smart Parking Guardian Mode 2.0 turut dilengkapi ciri pengesanan pergerakan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pengesanan perlanggaran menerusi kamera hadapan serta belakang, termasuk rakaman awal sebelum kejadian.
Sistem berkenaan turut menyokong rakaman selang masa dengan penggunaan arus sedia serendah 5mA.
Dengan tambahan Battery Pack Mini dan kit pendawaian mod parkir, sistem pengawasan berkenaan mampu beroperasi sehingga 30 hari.
Bagi rakaman kecemasan, sistem itu boleh mengimbas semula rakaman sehingga 190 saat sebelum dan 30 saat selepas kejadian, selain menyokong fungsi muat naik klip ke awan secara automatik.
Sementara itu, model A900 standard menawarkan rakaman 4K HDR bagi kamera hadapan dan belakang, apertur f/1.55 serta sambungan jarak jauh menerusi teknologi 4G Cloud+ 2.0 tanpa menggunakan pemindahan LVDS.
Dari segi harga, A900 ditawarkan pada RM699 manakala A900 Ultra berharga RM1,099. Versi berkembar pula masing-masing dijual pada RM789 dan RM1,249.
DM Dasher perkukuh pengedaran dan sokongan pelanggan
Di Malaysia, pengedaran produk 70mai dikendalikan oleh DM Dasher Sdn Bhd selaku pengedar tunggal rasmi jenama berkenaan.
Selain membekalkan produk menerusi saluran jualan rasmi dan rangkaian pengedar sah, Dasher turut menyediakan sokongan pemasangan dashcam menerusi rangkaian Dasher Automotive serta pusat pemasangan yang dilantik.
Inisiatif itu membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat pemasangan dan sokongan produk melalui rangkaian perkhidmatan tempatan, selain akses kepada perkhidmatan waranti dan selepas jualan.

DM Dasher turut menyediakan latihan berkaitan pengetahuan produk dan pemasangan kepada rakan niaga bagi menyokong pengembangan rangkaian pengedar serta pemasangannya di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk, pemasangan dan perkhidmatan selepas jualan, pelanggan boleh menghubungi saluran rasmi 70mai Malaysia atau mendapatkan maklumat menerusi laman web Dasher.
Promosi ulang tahun ke-10 tawar Proton e.MAS 5
Dalam perkembangan sama, 70mai memperkenalkan kempen cabutan bertuah sempena ulang tahun ke-10 dengan menawarkan sebuah kereta Proton e.MAS 5 sebagai hadiah utama kepada pelanggan di Malaysia.
Kempen anjuran bersama 70mai dan DM Dasher itu terbuka kepada pelanggan yang membeli model dashcam terpilih menerusi saluran jualan sah sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2026.
Penyertaan diberikan secara automatik selepas pelanggan melengkapkan proses pendaftaran dan pengaktifan produk menerusi aplikasi rasmi 70mai, tertakluk kepada terma serta syarat kempen.
Cabutan bertuah itu dijadualkan berlangsung pada 15 Januari 2027.

Sempena pelancaran A900, siri berkenaan mula ditawarkan secara dalam talian pada 1 November lalu.
Pengunjung pameran IAM Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung pada 7 dan 8 November turut berpeluang mengunjungi reruai 70mai di Dewan A, gerai I1 dan I2 untuk mencuba produk serta menyertai aktiviti interaktif termasuk menghasilkan plat nombor sendiri dan seni tulisan huruf.
Pembeli A900 Ultra di reruai berkenaan turut berpeluang menerima set hadiah edisi terhad hasil kerjasama 70mai dan Syafiq Kyle, termasuk model kereta Mazda RX7 putih bertandatangan, kotak hadiah khas serta patung beruang MaiX, sementara stok masih ada.
Untuk rekod, 70mai yang diasaskan di Shanghai, China pada Mac 2016 kini memasarkan produknya di lebih 100 negara dan wilayah dengan lebih 13 juta pengguna di seluruh dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
