[VIDEO] 'Terima kasih Datuk Ismail Lasim' - UMNO Negeri Sembilan

A
A
A

SEREMBAN - UMNO Negeri Sembilan merakamkan penghargaan atas khidmat serta sumbangan Datuk Ismail Lasim sepanjang beliau menerajui pentadbiran kerajaan negeri sebagai Menteri Besar.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya menghormati keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu meletakkan jawatan.

"Badan UMNO Negeri Sembilan telah pun dimaklumkan mengenai peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang ke-9 pada malam tadi, 16 November 2026.

"Sehubungan dengan itu, UMNO Negeri Sembilan dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Barisan Nasional dan Perikatan Nasional akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi memastikan memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan kebajikan rakyat untuk terus terpelihara," katanya dalam sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini pada Selasa.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, dalam memastikan proses ini berjalan dengan baik, mereka memberikan keyakinan atas kebijaksanaan dan akan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tunku Munawir.

Justeru katanya, seluruh kepimpinan UMNO Negeri Sembilan menyeru semua pihak untuk bertenang dan menghormati proses yang sedang berjalan.

"Dalam apa jua keadaan, kepentingan rakyat tidak boleh diketepikan. Semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, stabil dan sejahtera demi kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang," katanya.

Sementara itu Jalaluddin memaklumkan beliau hanya mengetahui Ismail meletakkan jawatan selepas dimaklumkan oleh pimpinan tertinggi parti.

Artikel Berkaitan:

Ditanya berkenaan dakwaan Ismail dipaksa atau dinasihatkan untuk meletakkan jawatan, Jalaluddin enggan mengulas lanjut dan meminta semua pihak bergerak kehadapan.

"Saya fikir, itu kita tidak lagi perlu ulas, 'move on' dan pastikan kestabilan kerajaan dapat diurus dengan baik dan juga proses ini dapat berjalan dengan lancar," katanya

Apa yang penting, kata Ahli Parlimen Jelebu itu, beliau berharap krisis adat dan perlembagaan yang sedang berlaku di negeri itu akan dapat berakhir dengan baik sekali gus memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan lancar.

Bagaimanapun, sidang media terbabit tidak dihadiri oleh Ismail dan Jalaluddin memaklumkan ketidakhadiran Ismail kemungkinan beliau urusan lain.

"Dia dijemput, mungkin Datuk Ismail ada urusan perlu diuruskan. Ada dua tiga orang ahli berhormat yang tak dapat hadir, seorang berada di Mekah mengerjakan umrah dan seorang lagi berada di Johor menghadiri mesyuarat mewakili Menteri Besar dan seorang lagi ada di luar negara atas urusan rasmi," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!