Peletakan jawatan MB Negeri Sembilan perlu perkenan Tuanku Muhriz -Istana

Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
A
A
A

SEREMBAN - Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, Istana Negeri Sembilan mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, yang dimuat naik di media sosial, 10 malam tadi.

"Surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar ke Istana Hinggap, di sini pada 12.16 tengah malam, tadi. Surat itu diserahkan oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.

"Setiausaha Sulit (kepada Tuanku Muhriz) kemudian menyampaikan kepada Ismail melalui aplikasi WhatsApp, pada 8.38 malam, perkenan untuk beliau menghadap seperti yang dimohon dan perkara ini diakui diterima beliau. Majlis Menghadap tersebut ditetapkan pada 10 pagi, Jumaat ini (20 November),” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata perkenan menghadap tersebut telah diberikan awal 80 minit sebelum kenyataan Zambry.

Beliau berkata, Istana Negeri Sembilan belum mengesahkan ketulenan surat tersebut, yang menurut Zambry telah ditandatangani Ismail.

Semalam, Zambry dilaporkan berkata, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima satu salinan surat peletakan jawatan berkenaan, yang telah diutuskan kepada Tuanku Muhriz.

Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lepas.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!