Gempa bumi magnitud 6.8 landa Indonesia

Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda Laut Banda, Indonesia pada awal pagi Selasa. Foto hiasan
Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda Laut Banda, Indonesia pada awal pagi Selasa. Foto hiasan
A
A
A

JAKARTA - Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda Laut Banda, Indonesia pada awal pagi Selasa, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan di timur negara itu termasuk Maluku dan Papua.

Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Dr Wijayanto berkata, gempa bumi yang berlaku pada 4.11 pagi waktu tempatan itu tidak membawa ancaman tsunami berdasarkan keputusan pemodelan.

Beliau berkata, pusat gempa terletak di laut, kira-kira 132 kilometer barat daya Maluku Tenggara pada kedalaman 97 kilometer.

"Setakat 4.25 pagi Waktu Indonesia Barat, hasil pemantauan BMKG tidak menunjukkan sebarang aktiviti gempa susulan.

"BMKG akan terus memantau aktiviti gempa susulan dan menyalurkan maklumat terkini kepada pihak berkuasa berkaitan serta orang ramai," kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.

Wijayanto berkata, gegaran turut dirasai penduduk di beberapa bandar termasuk Saumlaki, Tual, Sorong dan Manokwari, manakala gegaran lebih lemah dilaporkan di Nabire.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya kekal tenang, menjauhi bangunan yang retak atau rosak serta mendapatkan maklumat hanya melalui saluran rasmi BMKG.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!