Misteri penemuan rangka manusia rentung, cebisan pakaian hangus

MADIUN - Penduduk setempat gempar dengan penemuan rangka manusia yang rentung di kawasan hutan Desa Patalan, Kecamatan Kendal, Kabupaten Ngawi, Jawa Timur di Indonesia pada Ahad.
Beberapa serpihan tulang dan cebisan pakaian hangus terbakar itu dijumpai di dasar sungai yang telah kering.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum dapat mengenal pasti identiti dan jantina mangsa. Punca rangka tersebut terbakar juga menjadi tanda tanya memandangkan tiada kesan kebakaran hutan di kawasan sekitar.
Penemuan tersebut bermula apabila seorang penduduk bernama Sardi yang mengumpulkan rumput dan daun pokok untuk dibawa pulang terlihat beberapa serpihan tulang yang dipercayai rangka manusia.
Sardi segera kembali ke kampung yang terletak kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian untuk memaklumkan kepada penduduk lain sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Sektor Kendal, AKP Agus Pujiono berkata, sepasukan anggota polis yang menerima laporan segera bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan kerja-kerja membawa keluar beberapa bahagian rangka manusia termasuk tengkorak, tulang leher, rahang dan kaki.
Menurutnya, siasatan telah dijalankan untuk merungkai misteri penemuan rangka tersebut bagi memastikan jika wujud unsur perbuatan jenayah.
Kesemua tengkorak dan serpihan tulang itu telah dihantar ke Hospital Awam Daerah (RSUD) dr. Soeroto Ngawi untuk prosedur selanjutnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

