Manifesto BN sasar bawa pelaburan RM30 bilion dalam tempoh lima tahun

Mohamad (empat dari kiri) menunjukkan manifesto BN PRN Negeri Sembilan yang dilancarkan pada Jumaat.
Mohamad (empat dari kiri) menunjukkan manifesto BN PRN Negeri Sembilan yang dilancarkan pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN – Membawa nilai pelaburan berjumlah RM30 bilion dalam tempoh lima tahun merupakan antara sasaran Barisan Nasional (BN) menerusi intipati sembilan teras manifesto parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Manifesto bertemakan Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, di sini pada Jumaat.

Dokumen berkenaan menggariskan 88 usaha yang disusun dalam sembilan teras, selain memperkenalkan 15 inisiatif di bawah Skim Salam Sejahtera serta mencadangkan penubuhan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto.

Menurut Mohamad, di bawah teras ekonomi dan pembangunan, BN berikrar mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh tersebut, termasuk 5,000 pekerjaan bergaji tinggi di Malaysia Vision Valley (MVV), selain menyediakan latihan kepada 20,000 belia menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Pendekatan satu daerah satu industri utama akan diperkenalkan, selain memastikan kawasan industri dan Malaysia Vision Valley turut diperkasa semula.

"Matlamatnya adalah untuk memastikan anak Negeri Sembilan boleh bekerja di sini," katanya.

Tambah beliau, sebagai sebahagian daripada teras ekonomi dan pembangunan, BN turut berikrar mengoptimumkan hasil negeri serta meminimumkan kebocoran.

Menurutnya lagi, parti itu juga berjanji menjajarkan semula pembangunan di kawasan MVV dan memastikan pertumbuhannya menjana kesan limpahan ke seluruh negeri.

Selain itu, di bawah teras pendidikan, modal insan, belia, wanita dan keusahawanan, BN turut menawarkan lesen penjaja percuma selama lima tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga mahu membina 25,000 rumah dan 1,000 lot perumahan kampung serta memastikan tiada kenaikan cukai pintu sepanjang tempoh lima tahun sebagai sebahagian daripada teras kediaman dan perumahan.

"Cukai tambahan dan deposit perniagaan tambahan yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan dikaji semula," katanya.

Mohamad berkata, BN akan mewujudkan Galeri Rujukan Adat Perpatih selain memastikan kebajikan Dato'-Dato' Adat dan pembesar istana turut diberi perhatian.

Beliau berkata, bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, BN menyasarkan Negeri Sembilan kekal sifar miskin tegar, memasang lampu jalan di 69 perkampungan Orang Asli dan 59 kampung baharu, serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) di 35 kawasan panas.

Selain itu, BN menjanjikan bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM500 bagi bantuan kecemasan awal serta penyelenggaraan pangsapuri kos rendah dan sederhana milik swasta.

"Manifesto itu turut merangkumi usaha memperkasakan perkhidmatan kecemasan dengan menyediakan peralatan seperti set jana kuasa, gergaji rantai, tangga dan pam air, selain menyediakan sebuah ambulans serta skuad kebajikan kesihatan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk perlindungan insurans kepada pekerja gig.

"Dalam bidang pendidikan, modal insan, belia, wanita dan keusahawanan, BN menawarkan 100 biasiswa khas setiap tahun kepada pelajar cemerlang di setiap daerah," katanya.

Turut dijanjikan ialah pemasangan papan pintar di sekolah terpilih secara berperingkat bagi menyokong dasar pendigitalan negara, selain bantuan khas kepada sekolah tahfiz dan sekolah vernakular.

Menerusi Skim Salam Sejahtera, BN akan menyalurkan bantuan sekali bayar sebanyak RM1,500 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, RM750 bagi diploma, RM500 bagi sijil dan RM300 kepada pelajar Tingkatan Enam.

"Pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga pula akan menerima insentif RM1,000, manakala pelajar yang memasuki sekolah berasrama penuh akan menerima bantuan RM500.

"Warga emas berusia 65 tahun ke atas akan menerima bantuan tahunan sebanyak RM200 secara sekali bayar, manakala mereka yang berusia 75 tahun ke atas akan menerima RM300 sempena sambutan hari lahir," katanya.

Mohamad berkata, BN juga berjanji memberikan bantuan RM500 kepada mereka yang berpindah masuk ke rumah kos rendah atau sederhana.

Sementara itu, bagi sektor pertanian, agromakanan, pembangunan luar bandar dan Felda, BN menyasarkan pembinaan 8,000 lot perumahan di tanah rancangan Felda, selain menyediakan latihan, insentif pembangunan pertanian, penternakan dan perikanan, subsidi kepada petani, penternak dan nelayan serta menaik taraf infrastruktur penempatan nelayan.

"Manifesto itu turut menjanjikan penubuhan sebuah koperasi berasaskan pertanian di setiap DUN, pembangunan zon khas bagi tanaman padi, buah-buahan dan penternakan serta penubuhan Tabung Warisan Nelayan.

"Dalam sektor alam sekitar dan pelancongan, BN menyasarkan kehadiran 22 juta pelancong domestik dan antarabangsa setiap tahun, mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor itu serta memelihara 155,000 hektar kawasan hutan simpan kekal," katanya.

Mohamad berkata, bagi teras agama, adat, budaya, warisan dan masyarakat Orang Asli, BN berjanji memartabatkan Islam sambil menghormati kepelbagaian agama.

Manifesto itu turut merangkumi usaha meningkatkan kebajikan pegawai masjid dan surau, menyediakan sumbangan khas bagi membantu mereka menunaikan ibadah haji dan umrah, selain terus memelihara hak, budaya serta meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli.

"BN juga akan menyediakan bantuan kewangan khas kepada pegawai istana dan pemimpin adat.

"Dalam bidang sukan, rekreasi dan perpaduan, BN berhasrat membangunkan pusat rekreasi dan aktiviti lasak di Bukit Putus, membina serta menaik taraf litar sukan permotoran dan membina sebuah pusat rekreasi bersepadu di Negeri Sembilan," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!