Kerang kapak: Cara dimasak perlu betul, elak keracunan - Jabatan Perikanan

Pengunjung yang mengutip kerang kapak menggunakan penutup kipas. 
Pengunjung yang mengutip kerang kapak menggunakan penutup kipas. 
A
A
A

PASIR PUTEH – Kerang kapak yang menjadi fenomena muncul buat pertama kali di Pantai Sabak di sini pada musim tengkujuh sejak Khamis lalu selamat dimakan, kata Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Ismail Ibrahim

Bagaimanapun beliau berkata, kerang kapak perlu dibersihkan dengan sempurna dan dimasak dengan cara yang betul.

“Kalau hendak makan kerang kapak atau siput kemudi ini, bersihkan dan masak dengan betul supaya tidak berlaku keracunan.

“Buang hempedu dan pasir yang terdapat pada siput itu sebelum dimasak. Pastikan ia dimasak betul-betul dan bukan dimakan mentah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Mengenal Pasti Lubuk Ikan bagi Tujuan Pengurusan Sumber Perikanan Darat Mampan di Daerah Pasir Puteh Siri 2/2026 ‘Jom Igat Ikan Dalam Baruh’ di Kampung Tasek Pauh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Ismail
Ismail

Sejak tiga hari lalu, kerang kapak muncul di pantai perairan Kelantan sehingga menarik perhatian ramai pengunjung.

Artikel Berkaitan:

Mereka datang mengutip kerang kapak dengan menggunakan pelbagai peralatan seperti penyauk, penutup kipas dan jala.

Ada yang membawa pulang hingga 30 kilogram kerang kapak dan berkongsi dengan jiran serta kenalan.

Ismail berkata, spesies yang dikenali masyarakat tempatan sebagai kerang kapak itu ialah siput kemudi yang hidup di dasar laut.

“Kerang ini hidup di dasar laut berpasir dan ombak kuat ketika musim tengkujuh telah menolak haiwan ini naik ke pantai.

“Perkara paling penting ialah keselamatan pengunjung kerana ombak kuat pada musim tengkujuh ini, jadi berhati-hati ketika mengutip kerang kapak di tepi pantai,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan rujukan kepada Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung, Pulau Pinang kawasan pesisir pantai berkenaan tidak menunjukkan petunjuk pencemaran setakat maklumat yang diperoleh.

Beliau bagaimanapun menekankan langkah memasak dan mencuci yang betul perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan dari spesis kerang-kerangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!