PRN Melaka: DAP pertahan empat kerusi bukti keyakinan rakyat berbilang kaum - Nie Ching

Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (hadapan, tengah) bersama Nie Ching (hadapan, empat dari kanan) bergambar bersama barisan kepimpinan tertinggi serta ahli parti yang hadir pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2026 pada Ahad. Foto Bernama
Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (hadapan, tengah) bersama Nie Ching (hadapan, empat dari kanan) bergambar bersama barisan kepimpinan tertinggi serta ahli parti yang hadir pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2026 pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Kejayaan DAP mempertahankan kesemua empat kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikan keyakinan rakyat berbilang kaum terhadap khidmat dan rekod prestasi wakil rakyat parti itu.

Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching berkata, pencapaian itu amat bermakna, khususnya dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh yang sebelum ini dianggap sebagai kawasan mencabar.

"Kemenangan ini amat bermakna, terutamanya kejayaan mempertahankan Ayer Keroh, satu kerusi campuran dengan pengundi Cina merangkumi 46 peratus daripada jumlah pengundinya, diikuti oleh pengundi Melayu sebanyak 44.1 peratus dan pengundi India sebanyak 8.2 peratus,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2026 di sini pada Ahad.

Nie Ching yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, sebelum keputusan diumumkan, kerusi itu diramalkan sukar untuk dikekalkan berikutan landskap demografinya yang rumit.

Bagaimanapun, beliau memuji kerja keras serta khidmat bakti berterusan yang dipamerkan oleh jentera parti di lapangan.

"Keputusan ini membuktikan bahawa kerja keras dan khidmat bakti berterusan mampu mengatasi segala ramalan awal. Pencapaian ini adalah bukti nyata keyakinan rakyat berbilang kaum terhadap khidmat dan rekod prestasi wakil rakyat kita di sana,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan negeri, cawangan dan ahli parti dari Johor yang merentas negeri untuk membantu kempen di Melaka, sekali gus membuktikan kekuatan solidariti dan disiplin parti tanpa mengira sempadan geografi.

Pada PRN Melaka ke-16, Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi, menjadikan keseluruhan 24 kerusi dikuasai gabungan BN-PN.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi empat kerusi iaitu DUN Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!