Aaron-Roy King semakin liar

BEREGU lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King semakin membuktikan keserasian mereka apabila merangkul kejuaraan kedua dalam tempoh kira-kira lima minggu selepas menjuarai Masters Kumamoto 2026 di Jepun pada Ahad.
Kejayaan itu hadir selepas pasangan negara berkenaan bangkit menewaskan bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 16-21, 21-13, 21-15 dalam pertarungan selama 55 minit.
Lebih menarik, kejayaan itu hadir ketika Aaron-Roy King baru melalui fasa awal pembentukan gandingan selepas disatukan pada Oktober lalu, sekali gus memperlihatkan keserasian mereka berkembang lebih pantas daripada dijangkakan.
Bagaimanapun, Roy King mengakui mereka masih mempunyai banyak perkara untuk dipelajari dan tidak mahu terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian tersebut.
“Masih banyak perkara yang perlu kami pelajari. Kami mahu melakukannya perlahan-lahan, langkah demi langkah,” katanya selepas kejayaan di Kumamoto.
Mereka terlebih dahulu mencipta kejutan apabila menjuarai Terbuka Artik 2026 dalam penampilan sulung sebelum meneruskan kemaraan ke separuh akhir Terbuka Hylo di Jerman pada penghujung bulan lalu.
Rentak tersebut pastinya melegakan barisan kejurulatihan beregu lelaki negara yang diketuai Herry Iman Pierngadi, terutama selepas beberapa percubaan menggandingkan Aaron dengan pasangan berbeza sebelum ini.
Herry atau lebih dikenali sebagai Naga Api memulakan rombakan beregu lelaki negara pada awal tahun ini apabila memisahkan Aaron daripada Kang Khai Xing, pasangan yang pernah menjuarai Kejohanan Dunia Remaja 2024.
Aaron kemudian diberi peluang bergandingan dengan pemain senior, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sebelum Herry mengambil keputusan membentuk kombinasi baharu bersama Roy King menjelang siri kejohanan Eropah pada Oktober.
Percaturan itu kini menunjukkan hasil memberangsangkan apabila kedua-duanya bukan sahaja pantas membina keserasian, malah mampu menewaskan pasangan berpengalaman di pentas antarabangsa.
Kemenangan di Kumamoto juga membawa makna tersendiri apabila Aaron-Roy King muncul beregu lelaki Malaysia pertama mara ke final kejohanan berkenaan sejak diperkenalkan pada 2023, sebelum menamatkan kempen dengan gelaran juara.
Bagi pasangan yang masih dalam fasa membina persefahaman, dua kejuaraan dalam tempoh singkat itu pastinya menjadi suntikan keyakinan untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok beregu terbaik dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

