Azman sedia terjemah pengalaman kepada khidmat di Paya Rumput

SELEPAS lebih dua dekad mengharungi pentas politik nasional serta berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan, Datuk Azman Abidin kini bersedia membawa pengalamannya lebih dekat kepada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Bagi calon Pakatan Harapan (PH) itu, langkah menawarkan diri bukan soal mengejar jawatan atau kedudukan, sebaliknya peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, khususnya di negeri yang turut mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.
Berbekalkan pengalaman dalam memahami dasar dan pentadbiran, Azman mahu menterjemahkannya kepada khidmat yang lebih dekat, tersusun dan memberi manfaat kepada penduduk setempat. Ikuti wawancara eksklusif bersama Datuk Azman Abidin.
SINAR HARIAN: Datuk sudah lama dalam politik nasional dan berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri. Mengapa memilih untuk bertanding di peringkat DUN pada tahap ini?
DATUK AZMAN ABIDIN: Bagi saya, perjuangan politik bukan sekadar tentang jawatan atau kedudukan, tetapi tentang peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat. Sepanjang pengalaman saya di peringkat nasional dan kerajaan, saya telah mendapat banyak pendedahan tentang pentadbiran, dasar serta cabaran yang dihadapi rakyat.
Saya melihat penyertaan di peringkat DUN sebagai satu peluang untuk membawa pengalaman tersebut lebih dekat kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan Paya Rumput. Saya juga mempunyai hubungan dan latar belakang keluarga di Melaka. Jadi, ini merupakan satu peluang untuk saya menyumbang kembali kepada negeri yang mempunyai nilai tersendiri dalam kehidupan saya.

Dalam pertandingan tiga penjuru, apakah kekuatan dan kelemahan lawan yang paling Datuk beri perhatian dan bagaimana PH mahu mengatasinya?
Saya menghormati semua calon yang bertanding kerana setiap pihak mempunyai pendekatan dan pandangan masing-masing. Dalam pertandingan demokrasi, kita perlu memberi ruang kepada rakyat untuk menilai berdasarkan tawaran, rekod perkhidmatan dan kemampuan setiap calon.
Bagi pihak kami, fokus utama adalah untuk menyampaikan agenda dan komitmen kepada masyarakat secara jelas. Kita tidak perlu terlalu menumpukan perhatian kepada kelemahan pihak lain, sebaliknya perlu memastikan bahawa isu dan keperluan penduduk Paya Rumput diberikan perhatian sewajarnya. Akhirnya, keputusan terletak di tangan rakyat dan kita perlu menghormati proses demokrasi tersebut.
Sepanjang lebih dua dekad dalam politik, apakah pengalaman atau kegagalan yang paling banyak mengubah perspektif Datuk terhadap perjuangan politik?
Sepanjang perjalanan dalam politik, sudah tentu terdapat pelbagai pengalaman termasuk kejayaan, cabaran dan kekecewaan. Namun, antara perkara paling penting yang saya pelajari ialah politik merupakan satu bidang yang sangat dekat dengan kehidupan dan harapan rakyat.
Kita boleh mempunyai perancangan yang baik, tetapi realitinya setiap masyarakat mempunyai keperluan dan cabaran yang berbeza. Pengalaman lalu mengajar saya supaya lebih banyak mendengar, memahami keadaan sebenar dan tidak membuat keputusan hanya berdasarkan pandangan sendiri. Bagi saya, politik juga menuntut kesabaran, konsistensi dan kesediaan untuk terus belajar daripada kesilapan.
Apakah pengajaran daripada pengalaman politik lalu yang mahu Datuk terapkan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat?
Pengajaran paling besar ialah kepentingan untuk sentiasa berada dekat dengan masyarakat. Seorang wakil rakyat tidak seharusnya hanya muncul ketika diperlukan atau ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu sentiasa memahami perkembangan dan masalah di kawasan yang diwakilinya.
Saya juga percaya pengalaman dalam pentadbiran kerajaan termasuk di peringkat negeri dan Persekutuan, memberikan pendedahan tentang bagaimana sesuatu dasar dan inisiatif boleh dilaksanakan. Sekiranya diberikan mandat, saya mahu membawa pendekatan kerja yang lebih tersusun, mengutamakan komunikasi dengan masyarakat dan memastikan setiap aduan serta cadangan penduduk diberikan perhatian mengikut keutamaan dan kemampuan yang ada.

Selepas lima tahun, apakah ukuran yang Datuk mahu gunakan untuk membuktikan bahawa Datuk berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat?
Bagi saya, ukuran kejayaan seorang wakil rakyat bukan sekadar jumlah projek yang dilaksanakan atau program yang dianjurkan. Perkara yang lebih penting ialah sejauh mana kehidupan masyarakat dapat ditambah baik sepanjang tempoh perkhidmatan tersebut. Saya mahu melihat kemajuan dalam aspek kemudahan awam, peluang ekonomi, pembangunan belia, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Pada masa yang sama, saya juga mahu memastikan bahawa hubungan antara wakil rakyat dengan masyarakat sentiasa terpelihara. Rakyat perlu merasakan bahawa suara mereka didengari dan permasalahan mereka diberikan perhatian. Jika selepas lima tahun penduduk dapat melihat perubahan yang nyata, urusan masyarakat menjadi lebih baik dan saya masih mendapat kepercayaan mereka sebagai individu yang mudah ditemui serta bersedia mendengar, itu merupakan antara ukuran penting kejayaan saya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

