Dira tekad bina masa depan penduduk Rim

JASIN - Meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk kampung menerusi penambahbaikan kemudahan infrastruktur serta penyediaan peluang pekerjaan lebih baik menjadi fokus calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Beliau yang mesra dengan panggilan YB Dira berkata, aspek kebajikan penduduk menjadi keutamaan selain memastikan kemudahan asas di kawasan kampung terus diberi perhatian, termasuk menaik taraf sistem saliran dan pencahayaan jalan.
“Penambahan lampu jalan sebelum ini sudah dilaksanakan di laluan utama yang mempunyai selekoh dan kawasan berbahaya, manakala tumpuan seterusnya adalah menyediakan pencahayaan lebih baik di lorong-lorong kampung,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau juga mahu mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik dengan memperkasakan industri ekonomi tempatan.
“Ada penduduk yang menghasilkan produk sendiri, menyediakan makanan dan menjalankan perniagaan. Jadi, mereka tidak perlu keluar dari kampung untuk mencari rezeki, sebaliknya boleh menjana ekonomi serta meningkatkan pendapatan walaupun tinggal di kampung sendiri,” katanya.
Mengulas manifesto BN yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, termasuk pembinaan 25,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun di seluruh Melaka serta tawaran pinjaman sehingga RM80,000 untuk membina rumah di atas tanah sendiri, Khaidhirah berkata, inisiatif itu turut memberi manfaat kepada penduduk Rim.
Dalam pada itu, Khaidhirah berkata, pembangunan tiga kawasan perindustrian baharu di Melaka dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan, khususnya dalam sektor berkemahiran tinggi.
Menurutnya, kawasan berkenaan membabitkan German Technology Park yang sedang dalam pembinaan, ELKAY 2.0 di Jasin dan MCORP Hi-Tech Park di Masjid Tanah.
“Harapan kita supaya anak-anak Melaka mempunyai peluang pekerjaan lebih baik dan tidak perlu berhijrah ke luar negeri atau ke bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor mahupun Singapura untuk mencari pekerjaan.
“Melaka juga mampu menyediakan kehidupan yang baik dengan peluang pekerjaan mencukupi, sekali gus membolehkan mereka terus menetap dan membina kehidupan di negeri sendiri,” katanya.

"Harapan saya pada PRN Melaka kali ini adalah untuk mendapatkan pemimpin yang sentiasa dekat dengan rakyat dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik."- Pesara, Mat Juzah Md Said, 66.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

