Tiga termasuk seorang wanita asing edar dadah diberkas

Nik Ezanee (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.
Nik Ezanee (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai tiga individu termasuk seorang wanita warga asing yang dipercayai dalam terlibat sindiket pengedaran dadah sejak enam bulan lalu berjaya diberkas dalam serbuan berasingan di tiga lokasi di Lembah Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah syarikat kurier di Jalan Tandang di sini pada jam 3.20 petang semalam.

“Hasil maklumat yang diperoleh, kita berjaya memberkas seorang lelaki dalam serbuan pertama pada jam 10 malam di Sungai Way dan turut merampas satu plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat 1,000 gram dan 800 biji pil eramin 5,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, sejam kemudian, pihaknya berjaya memberkas seorang wanita warga asing di kawasan Bukit Jalil.

“Dalam serbuan kedua itu, kita merampas enam plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat 300 gram, 500 biji pil eramin 5, 340 biji pil ecstasy, 294 peket serbuk disyaki berisi dadah yang disembunyikan dalam speaker sebuah kereta jenis Toyota Altis,” katanya.

Beliau berkata, kemudiannya dalam serbuan jam 4 pagi tadi, pihak polis berjaya memberkas seorang lagi lelaki di Taman Klang Utama.

“Kita merampas enam peket plastik yang berisi dadah jenis syabu, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM 181,790. Hasil siasatan, dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 5,217 penagih dadah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita wang tunai yang disyaki hasil penjualan dadah sebanyak RM320,000, pelbagai jenis mata wang asing.

Artikel Berkaitan:

“Kita turut menyita tiga jongkong emas, gelang kaki dan loket rantai, jumlah keseluruhan sitaan bagi kesemua serbuan itu dianggarkan RM335,189,” katanya.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 23 hingga 36 tahun direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 30 April bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.