PRN Negeri Sembilan: Bahau perlukan lebih banyak pelaburan bagi wujud peluang pekerjaan

Fui Ming (kiri) ketika mengadakan Walkabout sekitar DUN Bahau.
Fui Ming (kiri) ketika mengadakan Walkabout sekitar DUN Bahau.
A
A
A

JEMPOL – Bahau memerlukan lebih banyak pelaburan baharu bagi merancakkan ekonomi tempatan sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk, khususnya golongan belia.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau, Chong Fui Ming berkata, kawasan itu mempunyai potensi untuk dibangunkan menerusi sektor agroteknologi yang selari dengan kekuatan Bahau sebagai kawasan berasaskan pertanian.

Menurutnya, usaha menarik pelaburan dalam sektor berkenaan penting bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan, sekali gus mengurangkan penghijrahan anak muda ke kawasan lain untuk mencari rezeki.

"Kalau ekonomi di Bahau berkembang dengan baik, peluang pekerjaan juga akan bertambah dan golongan muda tidak lagi perlu meninggalkan kawasan ini untuk bekerja di tempat lain.

"Bahau lebih sesuai dibangunkan menerusi industri berasaskan agroteknologi berbanding industri berat kerana kita mempunyai sumber dan potensi dalam sektor pertanian," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, dua pelabur dari China dibawa untuk meninjau potensi pelaburan yang boleh dibangunkan di Bahau.

Fui Ming (tiga kanan) berkesempatan bertemu penduduk sekitar Batu Kikir.
Fui Ming (tiga kanan) berkesempatan bertemu penduduk sekitar Batu Kikir.

Katanya, pengalaman sebagai akauntan turut membolehkan beliau memanfaatkan rangkaian perniagaan yang dimiliki bagi memperkenalkan potensi Bahau kepada pelabur yang berminat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Chong berkata, persekitaran perniagaan yang lebih mesra juga perlu diwujudkan bagi membantu peniaga tempatan terus berkembang.

"Antara perkara yang sering dibangkitkan peniaga ialah isu kenaikan kadar lesen, selain cabaran menyesuaikan diri dengan pelaksanaan e-Invois dan keperluan pematuhan lain yang dilihat memberi tekanan kepada sebahagian pengusaha kecil.

"Selain aspek ekonomi, potensi pelancongan di Bahau wajar diperkasakan menerusi penambahbaikan kemudahan sedia ada bagi menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap kemudahan kesihatan di Bahau dapat terus dipertingkatkan termasuk penambahan petugas kesihatan dan ambulans bagi memastikan penduduk menerima perkhidmatan yang lebih cepat serta efisien.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!