Angkatan Siber ATM: Jangan sekadar tubuh cabang baharu - Penganalisis

SHAH ALAM – Penubuhan Angkatan Siber sebagai cabang perkhidmatan keempat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu disusuli pembinaan keupayaan operasi, kepakaran teknologi dan sistem pertahanan digital yang benar-benar berkesan, bukan sekadar perubahan struktur organisasi.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohamad Faisol Keling berkata, langkah itu bertepatan dengan perubahan landskap keselamatan global yang menyaksikan teknologi siber, peperangan elektronik dan kecerdasan buatan (AI) semakin mempengaruhi strategi ketenteraan moden.
Menurutnya, ancaman terhadap keselamatan negara kini tidak lagi terbatas kepada pencerobohan fizikal di darat, laut dan udara, sebaliknya turut melibatkan serangan terhadap rangkaian komunikasi, sistem maklumat serta infrastruktur digital.
"Ruang digital dalam alam maya adalah aspek yang perlu dibangunkan, bukan hanya tertakluk kepada darat, udara dan laut semata-mata," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada 19 September lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melancarkan Tim Nukleus Angkatan Siber sempena sambutan Hari ATM Ke-93 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak.

Inisiatif itu menjadi langkah awal ke arah pembentukan Angkatan Siber sebagai cabang perkhidmatan keempat ATM, dengan keupayaan penuh disasarkan menjelang 2030.
Tim Nukleus hakikatnya berperanan menyediakan asas struktur, proses dan integrasi sebelum penubuhan penuh angkatan berkenaan.
Faisol berkata, perkembangan itu perlu dilihat dalam konteks Revolusi Hal Ehwal Ketenteraan (RMA) yang mengubah pendekatan peperangan konvensional kepada operasi berasaskan teknologi, maklumat dan ketepatan serangan.
Jelasnya, Perang Teluk pada 1991, misalnya, memperlihatkan kepentingan sistem satelit, radar, peluru berpandu berpandukan ketepatan serta keupayaan peperangan elektronik dalam menentukan keberkesanan operasi ketenteraan.
"Perubahan tersebut menunjukkan bahawa kelebihan sesebuah angkatan tentera tidak lagi bergantung semata-mata pada jumlah anggota dan kelengkapan persenjataan.
"Akan tetapi ia turut ditentukan oleh keupayaan menguasai maklumat, mengesan ancaman dan bertindak pantas berdasarkan data," ulas Faisol.
Menurut Faisol, penggunaan pesawat tanpa pemandu atau dron turut memperlihatkan perubahan ketara dalam strategi peperangan apabila teknologi yang pada awalnya digunakan untuk tujuan pengawasan dan perisikan berkembang kepada platform serangan bersenjata.
Perkembangan itu turut membuktikan bahawa teknologi yang lebih murah dan mudah dikerahkan berpotensi memberikan tekanan besar kepada sistem pertahanan yang lebih mahal sekiranya keupayaan mengesan, mengganggu atau memintas ancaman tidak dibangunkan seiring.

"Dalam konflik moden, penggunaan dron dan sistem tanpa pemandu juga memperlihatkan kepentingan penyepaduan antara risikan, komunikasi, analisis data dan tindakan operasi," jelasnya.
Faisol berkata, kemunculan AI dan keupayaan menganalisis data dalam masa nyata turut meningkatkan kepentingan penguasaan ruang siber dalam perancangan serta pelaksanaan operasi ketenteraan.
Teknologi berkenaan membolehkan maklumat daripada pelbagai sumber diproses dengan lebih pantas bagi membantu mengenal pasti corak ancaman, menilai situasi dan menyokong proses membuat keputusan.
"Bagaimanapun, kebergantungan terhadap sistem digital turut mewujudkan risiko baharu apabila rangkaian komunikasi, sistem kawalan dan infrastruktur teknologi boleh menjadi sasaran serangan atau gangguan.
"Justeru, pembentukan Angkatan Siber perlu mengambil kira keupayaan melindungi sistem sendiri, mengesan pencerobohan, menangani gangguan elektromagnetik serta memastikan kesinambungan operasi ketika berhadapan serangan digital," tambahnya.
Beliau berkata, pengalaman negara lain yang membangunkan keupayaan ketenteraan siber turut memberikan gambaran mengenai kepentingan bidang itu dalam struktur pertahanan moden.
Jerman, menurut Faisol, menubuhkan Cyber and Information Domain Service pada 2017 sebelum mengangkatnya sebagai cabang perkhidmatan tersendiri pada 2024.
Struktur berkenaan menggabungkan kepakaran teknologi maklumat, perisikan, peperangan elektronik dan operasi siber.
"Perkembangan itu menunjukkan bahawa pembentukan cabang siber memerlukan penyepaduan kepakaran merentas bidang, bukannya bergantung kepada keupayaan teknikal secara terasing.
"Bagi Malaysia, sasaran mengoperasikan Angkatan Siber sepenuhnya menjelang 2030 memberikan tempoh untuk membangunkan struktur organisasi, tenaga kerja dan keupayaan operasi yang diperlukan.
"Namun, kejayaan inisiatif itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan kewujudan cabang baharu semata-mata, sebaliknya melalui tahap kesiapsiagaan, keupayaan bertindak terhadap ancaman serta keberkesanan penyelarasan dengan cabang ATM sedia ada," katanya.
Dalam pada itu, Faisol menegaskan pembangunan sumber manusia menjadi antara cabaran penting yang perlu diberikan perhatia.
Jelasnya, ini kerana pertahanan siber memerlukan kepakaran khusus dalam keselamatan rangkaian, analisis ancaman, forensik digital, kecerdasan buatan dan peperangan elektronik.
"Persaingan mendapatkan tenaga pakar dalam bidang berkenaan juga memerlukan pendekatan yang mampu menarik, melatih dan mengekalkan pegawai berkemahiran tinggi dalam perkhidmatan ketenteraan.
"Selain itu, kerjasama dengan industri pertahanan tempatan dan institusi pendidikan perlu diperkukuh bagi memastikan pembangunan teknologi serta kepakaran tidak bergantung sepenuhnya pada sumber luar," menurutnya.
Pada masa sama, penyelarasan antara Angkatan Siber dengan Tentera Darat Malaysia, TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia perlu diberikan keutamaan supaya keupayaan digital dapat dimanfaatkan dalam operasi bersama.
Jelas Faisol, hal ini penting kerana ancaman siber dan peperangan elektronik boleh menjejaskan sistem komunikasi serta koordinasi ketiga-tiga cabang tradisional, sekali gus memberikan kesan langsung terhadap keberkesanan operasi di lapangan.
Oleh itu, penubuhan Tim Nukleus Angkatan Siber perlu menjadi titik permulaan kepada pembaharuan pertahanan yang menyeluruh, termasuk pembangunan doktrin operasi, latihan bersepadu, pengurusan risiko dan penilaian berterusan terhadap tahap kesiapsiagaan.
"Malaysia tidak boleh sekadar mengikuti perkembangan teknologi ketenteraan global tanpa memastikan setiap pelaburan diterjemahkan kepada keupayaan yang boleh digunakan ketika krisis.
"Akhirnya, kekuatan Angkatan Siber bukan ditentukan oleh namanya sebagai cabang keempat ATM, tetapi sejauh mana ia mampu melindungi kepentingan strategik negara, mengekalkan fungsi sistem pertahanan dan menghadapi ancaman yang semakin kompleks dalam era digital," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

