91 pokok tumbang akibat angin kuat, hujan lebat semalam

Antara kejadian pokok tumbang yang berlaku di Seksyen 7 di sini semalam.
Antara kejadian pokok tumbang yang berlaku di Seksyen 7 di sini semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 91 batang pokok tumbang dalam kejadian angin kuat dan hujan lebat sekitar jam 3 petang semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu, Pasukan Pantas MBSA telah bergegas ke beberapa lokasi terlibat bagi memotong dan mengalihkan pokok-pokok berkenaan.

Beliau berkata, kejadian pokok tumbang itu berlaku di beberapa lokasi antaranya Seksyen 9, 2, 3, 4, 7 dan U12, Shah Alam.

"Anggota pasukan Pantas MBSA telah melakukan pemotongan dan mengalihkan 91 batang pokok terlibat bagi memastikan kenderaan dapat bergerak di atas jalan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Hujan lebat dan angin kuat melanda Bandaraya Shah Alam semalam menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat serta kejadian pokok tumbang.

Susulan kejadian itu, beberapa laluan di sini turut terjejas ekoran dinaiki air dan terhalang disebabkan pokok tumbang.

Dalam pada itu, Shahrin berkata, Jabatan Landskap MBSA akan melakukan pemantauan terhadap pokok-pokok uzur di bawah seliaan mereka bagi memastikan tiada sebarang risiko bahaya buat pengguna lalu lintas.

"Kerja-kerja pangkasan pula akan dilakukan oleh MBSA bersama kontraktor yang dilantik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, orang ramai juga diminta dapat menghubungi Bilik Pantas MBSA di talian 03-55105811 bagi melaporkan sebarang situasi bencana seperti pokok tumbang, runtuhan cerun banjir dan sebagainya.