Lelaki maut ditembak jiran akibat pertikaian tempat parkir

FARIDABAD - Pertelingkahan kecil berkaitan parkir kenderaan berakhir tragedi apabila seorang lelaki maut ditembak jirannya sebanyak 14 das di Faridabad, India pada Jumaat.
Mangsa, Paramjeet, 42, yang bekerja dengan sebuah syarikat multinasional di Singapura, baru sahaja pulang ke India sehari sebelum kejadian bagi menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya.
Ketua Balai Polis Surajkund, Prahlad Kumar berkata, suspek dikenali sebagai Monu Sharma atau Mohan dipercayai melepaskan tembakan menggunakan pistol berlesen miliknya kira-kira jam 9 hingga 9.15 malam.
Menurutnya, pasukan Cawangan Jenayah Faridabad Seksyen 30 berjaya menahan suspek dalam tempoh beberapa jam selepas kejadian.
Beliau berkata, semua pasukan cawangan jenayah digerakkan segera atas arahan pegawai kanan polis bagi mengesan dan memberkas lelaki terbabit.
Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek tinggal di bangunan sama dengan mangsa menetap di tingkat satu manakala suspek di tingkat tiga.
Kedua-dua keluarga dipercayai sering berselisih faham berhubung isu parkir kenderaan dan beberapa perkara kecil lain, termasuk pertikaian mengenai najis anjing di kawasan parkir.
Pertelingkahan dipercayai memuncak pada malam kejadian apabila mangsa yang pulang dari gimnasium meminta suspek mengalihkan keretanya dari petak parkir ditetapkan.
Suspek kemudian didakwa melepaskan 14 das tembakan ke arah mangsa, dengan kira-kira lapan hingga sembilan peluru mengenai tubuhnya.
Mangsa dikejarkan ke hospital oleh ahli keluarganya, namun doktor mengesahkan dia meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Pemeriksaan bedah siasat sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar kecederaan akibat tembakan.
Polis kini menyoal siasat suspek bagi menentukan punca sebenar kejadian, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

