Dendam di tempat kerja berakhir tragedi: Bapa, anak 2 tahun maut diserang rakan sekerja

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas seorang bapa dan anaknya maut, ditikam rakan sekerja dalam satu insiden berdarah. Foto tular media Indonesia.
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas seorang bapa dan anaknya maut, ditikam rakan sekerja dalam satu insiden berdarah. Foto tular media Indonesia.
A
A
A

JAKARTA - Konflik dipercayai berpunca daripada persaingan di tempat kerja berakhir tragedi apabila seorang lelaki dan anak lelakinya berusia dua tahun maut dalam serangan di kediaman mereka di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Dalam kejadian pada Ahad malam itu, Jamil, 30, dan anaknya, Riski, dua tahun, meninggal dunia selepas dipercayai diserang seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai Aan Kurniawan, 33.

Isteri mangsa, Nur Hanisa, 23, pula terselamat walaupun mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Bhayangkara Palu.

Suspek dipercayai merupakan rakan sekerja Jamil di sebuah rumah sembelihan ayam di Jalan PDAM, Kelurahan Duyu, Kecamatan Palu Barat.

Menurut jiran mangsa, Bahtiar, perselisihan antara Jamil dan suspek dipercayai berlaku sejak sekian lama akibat persaingan di tempat kerja.

Katanya, kedua-dua mereka sering terlibat pertikaian sehingga saling membuat laporan kepada majikan.

“Punca utama dipercayai dendam. Namun, perkara sebenar yang mencetuskan tindakan suspek masih belum diketahui dengan jelas,” katanya.

Sementara itu, Nur Hanisa berkata, dia tersedar pada malam kejadian ketika mahu ke tandas sebelum ternampak suspek berada di kawasan rumah sambil memegang dua bilah pisau.

Menurutnya, dia kemudian bertanya tujuan kehadiran suspek, namun lelaki itu didakwa mengarahkannya supaya berdiam diri.

Artikel Berkaitan:

Kerana ketakutan, Nur Hanisa cuba melarikan diri ke bilik dan mengunci pintu, namun suspek dipercayai berjaya masuk sebelum menyerangnya.

Walaupun mengalami kecederaan, mangsa berjaya mengumpulkan tenaga untuk meminta bantuan selepas gagal mencari telefon bimbit bagi menghubungi keluarga.

Jeritan mangsa didengari jiran yang kemudian memecahkan pintu rumah sebelum membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Polresta Palu, AKP Ismailboby berkata, suspek tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.

Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

“Berdasarkan keterangan pemilik tempat kerja, mangsa dan suspek tidak mempunyai hubungan keluarga,” katanya.

Gabenor Sulawesi Tengah, Anwar Hafid turut menggesa pihak berkuasa mempercepatkan usaha menangkap suspek serta menyelesaikan siasatan kes berkenaan.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai jenayah kejam kerana turut meragut nyawa seorang kanak-kanak yang masih kecil.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!